Barcelona kelihatan seperti pasukan yang "tiada jiwa" musim ini berikutan beberapa persembahan yang boleh dipersoalkan dan keputusan aneh di belakang tabir, menurut Marc Muniesa.

The Catalans memimpin LaLiga dengan dua mata ketika saingan masih berbaki 10 perlawanan sebelum musim di Sepanyol terpaksa dihentikan kerana ancaman wabak koronavirus baru (Covid-19).

Mereka disingkirkan daripada Copa del Rey oleh Athletic Bilbao tetapi tetap menjadi pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas mengikat Napoli 1-1 dalam pertemuan pertama di Itali.

Bagaimanapun, persoalan mengenai standard Barca yang tidak menentu musim ini kembali berlegar-legar sungguhpun selepas Ernesto Valverde dipecat pada Januari lalu dan digantikan oleh Quique Setien.

Antoine Griezmann terus bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya sejak perpindahan bernilai €120 juta (RM575.8j) daripada Atletico Madrid manakala kecederaan Luis Suarez dan Ousmane Dembele membuatkan Setien kekurangan pilihan di jentera serangan.


Muniesa, yang merupakan produk akademi belia Barca sebelum menyertai Stoke City pada 2013, berpendapat musim 2019-20 telah menjejaskan lagi imej Barca.

"Segala yang berlaku agak pelik, pemecatan Valverde, orang luar memberi tekanan mengenai corak permainan mereka. Barca kelihatan bagaikan sebuah pasukan yang tidak mempunyai jiwa," pertahanan itu memberitahu Sport.

"Sangat sukar untuk melakukan apa yang telah dicapai Pep Guardiola atau Luis Enrique, yang lebih kerap melancarkan serangan balas. Sekarang, dengan kecederaan ke atas Dembele dan Luis Suarez, mereka tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan.

"(Persembahan) Griezmann tidak berada di peringkat tinggi seperti yang diharapkan dan pula Messi dalam situasi tersendiri. Berita terbaik buat mereka ialah Ansu Fati, seorang pemain bola sepak yang tidak takut gentar."