Romelu Lukaku mengakui jaringan gol sendirinya ketika aksi final Liga Europa membuatkan dia berang tetapi berikrar untuk terus berjuang bersama Inter.

Lukaku merupakan pemain yang menonjol dalam aksi final UEL berdepan Sevilla, menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan Diego Carlos, yang terlepas layangan kad merah.

Sevilla bangkit dengan dua gol daripada Luuk de Jong untuk meleletakkan kelab Sepanyol itu di depan sebelum Diego Godin kembali menyamakan kedudukan.

Lukaku hampir meletakkan Inter kembali mendahului permainan sebelum dinafikan Yassine Bounou.

Dia kemudian tertampan masuk sepakan gunting Diego Carlos 16 minit sebelum tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Sevilla menjulang gelaran buat kali keenam dalam 14 tahun.



"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakan sepasukan Inter yang telah banyak membantu saya dan keluarga," katanya menerusi laman sosial.

"Tahun ini pasukan telah berkembang banyak bersama dan saya berbangga dapat mewakili kelab yang saya cintai sejak kecil.

"Ya, apa yang berlaku membuatkan saya berang tetapi saya akan bangkit. Saya tidak pernah mengharungi jalan mudah sejak kecil lagi, pengalaman sentiasa mematangkan kita.

"Apa yang pasti, perjuangan Inter tidak berakhir dan pengalaman itu akan menjadikan pasukan yang lebih baik!

"Kepada penyokong, saya mahu mengucapkan terima kasih kerana sentiasa bersama pasukan, di tempat sendiri atau di tempat lawan. Kami akan kembali."