Karim Benzema tersisih ketika Real Madrid bertandang ke Real Valladolid dalam LaLiga sebagai medan pemanas badan untuk menentang Atalanta, Khamis depan.

Penyerang Los Blancos itu tidak mengikuti sesi latihan semalam akibat kecederaan ringan yang belum dikenal pasti dan tidak akan mengikuti rombongan ke Jose Zorrilla, di mana Madrid mengintai kemenangan keempat berturut-turut awal pagi esok.

Pengurus Madrid, Zinedine Zidane, tidak pasti sama ada Benzema akan kembali untuk pertemuan timbal balik peringat 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Atalanta sambil mengatakan situasinya akan dinilai semula.

"Karim tidak akan bersama kami esok, dia berdepan sedikit masalah, dia berasa tidak selesa dan dia tidak akan bersama kami esok," kata Zidane dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Kami harap dia pulih minggu depan, dari hari Ahad-Isnin hingga seterusnya kami akan memantau perkembangannya dan bagaimana dia bersedia untuk Rabu depan (awal pagi Khamis)."

Ini satu tamparan buat Zidane selepas skuadnya dihimpit krisis kecederaan apabila Benzema bakal menyertai Eden Hazard, Rodrygo, Federico Valverde, Alvaro Odriozola, Eder Militao, Marcelo, Dani Carvajal dan ketua pasukan, Sergio Ramos, di bilik rawatan.

"Saya fikir apa-apa kecederaan yang menimpa kami adalah satu pukulan. Tetapi sudah tentu kami sedar Karim adalah tonggak utama, kami sedar betapa pentingnya dia," tambahnya.

"Tetapi seperti yang saya katakan bahawa dia tercedera, dia tidak akan tersedia esok dan kami harus melakukan yang terbaik.

"Kami harus memikirkan pemain yang ada di sana dan berharap Karim pulih secepat mungkin. Perkara yang sama berlaku ke atas semua pemain."





Walaupun mengalami masalah kecederaan, Madrid telah menunjukkan prestasi yang baik selama seminggu terakhir termasuk dalam LaLiga dan Zidane ditanya apakah dia yakin anak buahnya mampu terus menunjukkan sikap positif di Eropah.

"Dalam aspek mental kami tidak dapat melakukan apa-apa mengenai kecederaan ini. Kami hanya mahu mengelakkan lebih banyak kecederaan," katanya.

"Saya rasa semua orang di sini komited untuk melakukannya tetapi ia terjadi atas banyak faktor. Benar bahawa akhir-akhir ini ramai pemain yang tercedera dan situasi ini tidak membantu.

"Kami mengalami banyak kecederaan, hari ini kami ditimpa satu lagi iaitu Benzema tetapi kami hanya perlu bersabar dan dengan pemain yang ada, kami perlu memberikan yang terbaik sambil berharap pemain akan pulih.

"Saya tahu mereka mahu kembali berlatih segera dan berada di atas padang. Saya harap semua pemain dapat kembali tetapi akhir-akhir situasi menjadi agak rumit."