Zinedine Zidane menegaskan Karim Benzema sedar dia berada di bawah prestasi sebenar untuk Real Madrid dan berharap penyerang itu dapat menemui semula ketenangannya di depan gawang secepat mungkin.

Benzema mengharungi permulaan buruk musim ini daripada segi pencapaian golnya setelah hanya menjaringkan dua gol daripada 13 perlawanan dalam semua pertandingan.

Cristiano Ronaldo juga berhempas-pulas dan Madrid terpaksa berada di belakang Barcelona dengan perbezaan 10 mata selepas 12 perlawanan La Liga akibat daripada kelemahan penyerangnya.

Madrid akan membuat kunjungan ke Cyprus untuk menentang APOEL dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok, dan Zidane menggesa Benzema agar menamatkan tempoh sukarnya dengan memberikan "lebih lagi" memandangkan juara bertahan itu mahu memastikan laluan mereka dalam pusingan kalah mati.

Bercakap kepada pemberita menjelang perlawanan itu, Zidane berkata: "Dia (Benzema) adalah pemain pertama yang tahu dia boleh memberi aksi lebih baik, terutama terhadap isu keyakinannya di depan gol.

"Penyerang-penyerang mungkin memerlukan gol untuk mendapatkan keyakinan tetapi dia bermain dengan baik, pasukan juga bermain dengan baik.

"Apabila seseorang ke depan, lebih ramai akan ikut. Kami berharap esok adalah hari untuk menamatkannya," katanya lagi.

Zidane sesekali dikritik pada musim ini kerana mungkin tidak menurunkan beberapa pemain muda dengan lebih kerap.

Theo Hernandez, Marcos Llorente, Dani Ceballos dan Borja Mayoral banyak memanaskan bangku simpanan tetapi Zidane tidak menyedari dia mempunyai masalah dengan mereka sambil menegaskan bahawa pemain berkenaan masih dalam proses pembelajaran.

"Ia (kegembiraan pemain) adalah persoalan untuk pemain," kata Zidane. "Sejauh mana saya tahu, saya duduk dan berbual dengan pemain. Mereka di sini, mereka masih muda.

"Mereka perlu bekerja keras tetapi lihat kebangkitan Marco Asensio, misalnya. Dia kurang bermain musim lalu tetapi lebih banyak pada musim ini.

"Ceballos berada dalam kedudukan sama. Mungkin ada beberapa pemain yang kurang bermain tetapi ia adalah proses pembelajaran.

"Ia biasa jika mereka kurang bermain berbanding pemain skuad lain tetapi Ceballos dan pemain muda lain semuanya mempunyai masa depan yang cerah di sini," hujahnya.