Zinedine Zidane memuji Karim Benzema selepas penyerang itu membantu Real Madrid menewaskan Athletic Bilbao dalam LaLiga awal pagi tadi.

Benzema menjaringkan gol berganda pada lewat permainan untuk Madrid memperoleh kemenangan 3-1 yang menyaksikan mereka kini mengumpulkan jumlah mata yang sama dengan Real Sociedad dan Atletico Madrid di persada liga.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah menjaringkan 10 gol dalam kesemua kejohanan musim ini -- lebih banyak berbanding mana-mana pemain lain dalam LaLiga.

Zidane memuji pemain itu dengan berkata kemampuan Benzema untuk menjaringkan gol meskipun bukan dalam aksi terbaiknya merupakan sesuatu yang amat menarik.

"Bagi saya dia pemain terbaik kerana tanpa bermain dengan amat baik (ketika menentang Bilbao) dia dapat menjaringkan dua gol," kata ketua jurulatih Madrid itu seperti yang dipetik AS.

"Dia sentiasa ada. Mereka adalah pemain yang hebat."

Toni Kroos memberikan Madrid gol pendahuluan di Estadio Alfredo Di Stefano, di mana Bilbao terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-13 susulan kad merah yang dilayangkan kepada Raul Garcia.

Bagaimanapun, Ander Capa kembali mengikat kedudukan buat pelawat dan Madrid bergelut untuk mencipta peluang sebelum dua gol lewat permainan Benzema.

Benzema telah terlibat dengan 18 gol daripada 22 perlawanan LaLiga menentang Bilbao dan menjaringkan 13 gol daripadanya selain lima bantuan jaringan.

Zidane mengakui Madrid bermain di bawah tahap terbaik mereka dengan berasakan pasukannya bergelut untuk menentang lawan dengan 10 pemain itu.

"Benar kami bergelut. Apabila anda berada dalam situasi 11 lawan 10 pemain, jika anda dapat mentafsir permainan dengan baik, ia akan menjadi lebih mudah tetapi ia berlaku dengan sebaliknya. Kami terlalu tergesa-gesa.

"Apabila mereka kehilangan seorang pemain, anda berkata 'saya akan menjaringkan gol dalam 15 minit'. Dan anda perlu bersabar.

"Selepas perlawanan keempat dalam 10 hari, terdapat tiga mata dan anda perlu gembira," katanya lagi.

Madrid akan memburu kemenangan keempat berturut-turut ketika berkunjung ke laman Eibar hujung minggu ini.