CLUB AMERICA 0 REAL MADRID 2

Penyerang Real Madrid, Karim Benzema, berkata Zinedine Zidane merupakan lebih daripada sekadar seorang jurulatih dan menganggapnya seperti seorang abang.


Benzema membuka tirai jaringan untuk meletakkan Madrid di hadapan ketika meraih kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir Piala Kelab Dunia ke atas Club America di Yokohama, malam tadi, dan berlari untuk memeluk Zidane di tepi padang bagi meraikan jaringan tersebut.

Madrid memuktamadkan kemenangan mereka pada masa kecederaan apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-500 bersama kelab dalam kerjayanya, memastikan kemaraan Madrid dalam perlawanan akhir menentang Kashima Antlers.

Benzema memuji Zidane ketika sesi temubual selepas perlawanan di samping membayangkan 2016 merupakan tahun yang produktif untuknya.

"Dia seperti seorang abang," katanya kepada Teledeporte. "Dia adalah contoh bagi saya dan saya amat gembira untuk bekerja dengannya.

"Ia tidak menjadi tahun yang sukar, saya hanya tidak bermain dengan baik dalam dua atau tiga perlawanan.

"Ia merupakan satu tahun yang sangat baik, di mana saya telah memenangi kejuaraan bersama Real Madrid dan saya menjaringkan gol yang banyak."

Zidane, yang gembira dengan rakan senegaranya itu, segera menukar perhatian untuk perlawanan Ahad ini.

"Saya gembira untuk dia dan semua pemain. Saya gembira di atas semua kemenangan. Saya gembira melihat dia menjaringkan gol dan dia memeluk saya," kata Zidane.

"Sekarang kami mempunyai satu lagi perlawanan sebelum boleh menjulang trofi, dan kami akan membuat persediaan dengan sebaik-baiknya.

"Kami tidak mempunyai terlalu banyak peluang pada separuh masa pertama. Ia satu perlawanan yang agak janggal kerana rentak permainan kami juga tidak berada pada corak permainan sebenar. Jika kami tidak melakukan perubahan, mereka bakal ke pentas final.

"Kami menjaringkan gol sebelum rehat dan ia merupakan satu gol yang sangat penting."