Benzema akan kembali ke Lyon, kata ejen

Oleh Muzaffar Musa 26 Januari 2021 295
Benzema akan kembali ke Lyon, kata ejen
Bintang Real Madrid, Karim Benzema akan kembali ke pangkuan kelab Ligue 1, Lyon, kata ejen pemain itu, Karim Djaziri

Benzema hadir menerusi akademi Lyon dan menghabiskan lima tahun karier seniornya bersama kelab itu sebelum menyertai Madrid pada 2009 -- menempa nama sebagai pemain muda paling berpotensi di Eropah menerusi empat kejuaraan Ligue 1 berturut-turut.

Sejak berpindah ke Madrid, Benzema memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan tiga kejuaraan LaLiga sebagai sebahagian daripada 18 trofi yang dikumpulkannya di ibu kota Sepanyol itu.

Tetapi Djaziri memberi bayangan bahawa penyerang berusia 33 tahun itu akan pulang ke pangkuan kelab asalnya, Lyon.
 
"Adakah Karim Benzema akan kembali ke Lyon? Ya, sejujurnya saya rasa dia akan kembali," kata Djaziri kepada Inside Gones.

"Dia kerap berbual dengan saya dan dia menyaksikan kesemua perlawanan  pasukan itu.

"Apa yang lebih penting, dia belum pernah ke Stadium Groupama dan di dalam mindanya, ia merupakan sesuatu yang diinginkannya, Lyon sentiasa berada di hatinya," katanya.

Benzema menjaringkan 10 gol dalam LaLiga buat juara bertahan, Madrid, musim ini dan dua jaringannya membantu kemenangan 4-1 ke atas Alaves hujung minggu lalu.
 
Secara keseluruhan, Benzema telah menjaringkan 15 gol dalam kesemua kejohanan musim 2020-21

Madrid, dalam pada itu, menduduki tangga kedua dan ketinggalan tujuh mata di belakang Atletico Madrid, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen