Benteng Dortmund mudah roboh

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 496
Benteng Dortmund mudah roboh
Borussia Dortmund mengalami kekalahan mengejut 2-3 di tangan RB Leipzig dalam saingan Bundesliga sehingga membuatkan pengendali, Peter Bosz, berang dengan prestasi pertahanannya.

Dua gol jaringan Pierre-Emerick Aubameyang di Signal Iduna Park gagal membantu Dortmund untuk mengelak daripada mengalami kekalahan pertama musim ini.

Kekalahan itu juga menamatkan rekod tanpa kalah skuad BVB dalam 41 perlawanan di laman sendiri.

Dua kad merah dilayangkan dalam perlawanan itu tetapi pelawat jelas lebih bijak menggunakan setiap kesempatan yang ada, membuatkan Bosz kecewa dengan barisan pertahanannya.

"Kami bermain terlalu banyak hantaran ke belakang dan ini bukan cara kami. Kami bertahan dengan buruk.

"Dalam babak kedua, kami cuba mengubahnya tetapi kad merah dilayangkan ketika kami ketinggalan 1-3, jadi keadaan semakin sukar. 

"Jelas sekali kami tidak dapat menahan tekanan yang diterapkan oleh RB Leipzig," kata Bosz.

Sementara itu, ketua jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuttl, gembira dengan persembahan memukau anak buahnya dan memuji keberanian yang ditampilkan walaupun beraksi di tempat lawan.

"Saya berbangga dengan permainan yang ditunjukkan. Kami sentiasa percaya kepada diri sendiri dan memberikan tekanan tinggi buat tuan rumah.

"Akhirnya kami berjaya mencatat kemenangan," ujar Hasenhuttl.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen