Christian Benteke mencipta sejarah dengan menjaringkan gol terpantas dalam aksi kelayakan Piala Dunia selepas hanya tujuh saat dalam perlawanan menentang Gibraltar, awal pagi tadi.

Belgium tidak pun melakukan sepak mula perlawanan Kumpulan H di Faro itu, sebaliknya Gibraltar yang hilang penguasaan bola sejurus wisel permulaan dibunyikan.

Ryan Casciaro leka ketika menguasai bola, lalu Benteke merampasnya sebelum melepaskan rembatan melepasi penjaga gol, Deren Ibrahim.

Gol ini merupakan gol pertamanya untuk Belgium sejak Mac 2015 -- ketika bertemu Cyprus -- yang juga gol terpantas untuk skuad kebangsaannya.