JUVENTUS 3 CAGLIARI 1

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, tidak berpuas hati menyaksikan pasukannya meraih kemenangan ke-10 selepas tidak tewas dalam 11 perlawanan Serie A musim ini -- mencipta kemenangan 3-1 ke atas Cagliari "masih tidak mencukupi".

Penyandang Scudetto itu memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila Paulo Dybala membuka jaringan pada minit pertama tetapi Cagliari menyamakan kedudukan selepas 30 minit berlangsung menerusi Joao Pedro.

Jaringan sendiri Filip Bradaric meletakkan Juve kembali di depan tetapi mengharungi saat-saat sukar sebelum pemain gantian, Juan Cuadrado, memastikan kemenangan tiga minit sebelum perlawanan berakhir.

"Kami perlu bertahan dengan lebih baik. Kami bolos terlalu banyak dan membenarkan pasukan lawan untuk bangkit mengejar perlawanan," kata Allegri.

"Bertahan dalam situasi ini agak memenatkan dan kami perlu mengelaknya. Kami perlu memastikan lebih banyak jaringan dihasilkan bagi melunturkan semangat lawan."

Allegri mendedahkan dua pemain bakal terlepas aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Manchester United.

Cuadrado hadir dalam separuh masa kedua menggantikan Douglas Costa, yang mengalami kecederaan pangkal paha, manakala perancang, Miralem Pjanic, digantikan dengan Alex Sandro kerana memiliki masalah pinggul.