Pengendali Brazil, Tite, mengakui Neymar masih belum mencapai tahap terbaiknya tetapi mempertahankan persembahan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu di pentas Piala Dunia.

Pemain berusia 26 tahun itu dikritik hebat ekoran reaksi yang ditunjukkan ketika mendakwa pemain Mexico, Miguel Layun, memijak buku lalinya dalam kemenangan 2-0 dalam pusingan kedua, namun Tite sebelum ini menyatakan sokongannya terhadap Neymar dalam insiden itu.

Dalam masa sama, dia juga memuji sikap pemain itu yang dilihat lebih gemar tidak banyak bercakap mengenai kualiti yang diberikan buat skuad Selecao.

"Saya telah bercakap dengan Neymar dan sangat spesifik tentangnya, mengenai apa yang berlaku," kata Tite.

"Anda harus menonton video. Apa yang anda lakukan adalah melihat gambar.

"Apa yang menggembirakan saya adalah dia masih belum berada di tahap terbaik. Dia bukan sekadar menggelecek tetapi terdapat beberapa aksi serta transisi ketika bertahan.

"Jika anda lihat, Neymar telah melibatkan diri dalam pasukan secara kolektif, mendapatkan bola serta ruang. Kadangkala, pergerakan serangan balas yang dilakukan bukanlah perancangan saya tetapi itu adalah kerjasama dalam pasukan."

Neymar akhirnya melakukan penampilan di Russia selepas wujud persoalan mengenai tahap kecergasannya susulan kecederaan patah tulang metatarsal pada Februari lalu dan untuk saingan di Russia, dia telah menjaringkan dua daripada tujuh gol Brazil setakat ini.

"Bersama Neymar, anda tidak perlu memiliki teknik yang tinggi untuk mengetahui perkembangannya. Pihak perubatan pasukan sedar akan risiko yang ditanggung Neymar apabila datang ke sini.

"Masa memberikan anda pemulihan dan ia adalah situasi semulajadi. Neymar pulih lebih awal daripada jangkaan kerana dia seorang pemain yang bagus."