Torino menerima rangsangan selepas ujian imbasan mengesahkan Andrea Belotti bebas daripada sebarang kecederaan lutut serius.

Belotti dikhuatiri mengalami kecederaan 'anterior cruciate ligamen ' (ACL) di lutut kanannya setelah turun berlatih, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Torino mendedahkan maklumat lanjut mengenai tahap kecederaan penyerang berbisa mereka itu yang masih menjadi sasaran banyak kelab sekitar Eropah.

Kenyataan dalam laman sesawang kelab itu berbunyi: "Andrea Belotti mengalami trauma di lutut kanannya.

"Ujian yang dijalankan tidak termasuk ligamen atau tisu terkoyak. Proses rawatan bergantung kepada evolusi klinikal."

Belotti terlepas aksi sejak Oktober lalu akibat masalah lutut dan dia hanya mencetak empat gol dalam 15 penampilan Serie A musim ini selepas merekodkan 26 jaringan musim lalu.