ARSENAL 3 VITORIA 2

Hector Bellerin menegaskan skuad Arsenal tidak meragui kualiti Nicolas Pepe selepas pemain itu menyempurnakan dua jaringan untuk membantu pasukannya menang ke atas Vitoria SC dalam saigan Liga Europa (UEL), awal pagi tadi.


Pepe hanya sekali menjaringkan gol buat The Gunners menjelang aksi Kumpulan F di Stadium Emirates itu tetapi bekas bintang Lille itu kini memperoleh tiga jaringan dengan menyempurnakan dua sepakan percuma.

Selepas masuk sebagai pemain gantian kepada Alexandre Lacazette yang kurang berkesan, Pepe menyamakan kedudukan pada minit ke-80 sebelum meledak jaringan kemenangan dalam masa kecederaan, sekali gus memastikan skuad kendalian Unai Emery itu menang 3-2.

Walaupun mengalami pergelutan untuk mendapatkan aksi cemerlang, Bellerin tidak bimbang dengan kemampuan Pepe untuk menghadirkan sentuhan magis.

"Kami menyedari kemampuannya, kami telah lama berlatih dan mengetahui apa yang mampu dilakukannya sejak beberapa musim lalu," katanya.

"Kadang-kala apabila seseorang pemain berhijrah ke negara baru, liga baru, ia memerlukan masa tetapi dua gol yang terhasil amat penting buat dirinya dan pasukan.

"Jaringan juga perlu hadir menerusi kebolehan individu. Kami bermain sebagai satu pasukan tetapi jaringan kadangkala hadir menerusi magis yang dimiliki pemain itu untuk menjadikan kedudukan daripada ketinggalan 2-1 dan menang 3-2."

Arsenal kelihatan bergelut berdepan lawan daripada Liga Portugal itu apabila Vitoria mendahului perlawanan menerusi bekas bintang muda, Marcus Edwards.

Kedudukan kembali terikat apabila Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan, jaringan keempatnya daripada tiga perlawanan setakat ini.

"Amat penting buat Martinelli meningkatkan tahap keyakinannya," tambah Bellerin apabila diminta mengulas tentang persembahan rakan sepasukannya itu.

"Ia bukan hanya mengenai tahap keyakinannya tetapi semangat yang dipamerkan. Persembahannya melonjakkan mutu permainan kami sepasukan. Dia masih muda dan banyak perkara yang perlu dipelajari tetapi apa yang dipamerkannya sangat positif dan membantu pasukan."

Bruno Duarte kembali meletakkan Vitoria di hadapan sehinggalah Pepe hadir ke dalam perlawanan bagi memastikan tiga mata penuh The Gunners.

"Saingan semakin sukar dan perkara paling penting untuk kami adalah mengukuhkan tahap keyakinan dan terus melakar kemenangan dalam perlawanan akan datang," tambahnya lagi.