Arjen Robben mengakui Belanda tidak berpeluang untuk menjaringkan tujuh gol ke atas Sweden dalam usaha untuk menempah slot aksi play-off untuk ke Piala Dunia Russia 2018.

The Oranje mengelak daripada penyingkiran awal selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Belarus kelmarin tetapi keputusan itu masih tidak lagi mengubah nasib mereka untuk mengakhiri Kumpulan A di tempat kedua.

Kejayaan Sweden melakar kemenangan 8-0 ke atas Luxembourg ternyata memusnahkan peluang Belanda untuk memintas perbezaan gol tersebut menjelang pertemuan kedua-dua pasukan esok.

Robben, yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika bertemu Belarus, berpendapat bahawa finalis Piala Dunia 2010 itu akan terlepas saingan di Russia nanti.

"Hakikatnya amat memeritkan. Tetapi ia adalah sebahagian daripada sukan ini," kata Robben.

"Selepas Sweden melakar kemenangan besar itu, ia seperti menutup peluang kami. Tidak mungkin kami mampu menewaskan Sweden 7-0.

"Selepas mendengarnya (kemenangan Sweden), ia amat mengecewakan kami.

"Pada separuh masa pertama, kami tidak berjaya menghasilkan banyak peluang," katanya lagi.