BELANDA 1 SEPANYOL 1

Georginio Wijnaldum berasa adalah menjadi satu penghormatan buatnya mengetuai Belanda ketika mengikat Sepanyol 1-1 tetapi mengakui berdepan dengan perasaan bercampur baur ekoran ketiadaan rakan karibnya, Virgil van Dijk.


Wijnaldum mengambil alih lilitan kapten dalam perlawanan ujian di Arena Amsterdam, awal pagi tadi, selepas rakan sepasukan di Liverpool itu juga berkemungkinan tersisih sepanjang musim ini akibat kecederaan ligamen lutut bulan lalu.

Wijnaldum beraksi dalam 45 minit sebelum direhatkan menjelang perlawanan getir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Poland dan Ukraine.

Dia kemudian mendedahkan bahawa sempat berhubung dengan Van Dijk sebelum sepak mula.

"Sudah tentu adalah sangat bagus untuk mewakili negara dengan cara ini," kata pemain tengah itu yang menyambut ulang tahunnya yang ke-30.

"Tetapi saya lebih suka Van Dijk berada di sini. Kemudian dia akan menjadi ketua pasukan.

"Dia membuatkan pasukan kami bertambah mantap dan hingga kini masih sangat terlibat dengan kami. Saya telah menelefonnya sebelum perlawanan -- kami bercakap mengenai hari jadi saya. Saya akan menghubunginya lagi sebentar lagi."

Donny van de Beek menyumbat gol keduanya di peringkat antarabangsa pada awal separuh masa kedua untuk membolehkan skuad Oranje mengikat barisan kedua Sepanyol.




Sergio Canales terlebih dahulu meletakkan La Roja dengan jaringan sulungnya buat pasukan kebangsaan justeru pengurus Belanda, Frank de Boer, tidak senang dengan corak bertahan anak buahnya sebelum rehat.

"Kami terlupa untuk membuat menutup ruang dengan betul," katanya.

"Pada masa rehat saya berpesan kepada mereka mengenainya dan kami memperbaikinya. Permainan berubah sebaik De Beek dan Luuk de Jong membuat lawan mereka lebih tertekan, lebih pantas."

De Boer belum menang sepanjang empat perlawanan kendaliannya sejak menggantikan Ronald Koeman sebagai pengurus, tetapi berharap pencapaian itu mungkin berakhir ketika mereka menyambut kunjungan Bosnia-Herzegovina, awal pagi Isnin ini.

"Tentu saja saya ingin memenangi perlawanan," katanya.

"Mari lakukannya dan melawan Bosnia."