Bekas pemain antarabangsa Colombia, Juan Camilo Zuniga, mengumumkan persaraannya pada usia 32 tahun.

Memulakan karier bersama Atletico Nacional di tanah kelahirannya, dia kemudian berhijrah menyertai beberapa pasukan di Itali seperti Bologna, Napoli dan Siena, serta turut menikmati perpindahan secara pinjaman bersama Watford di England.

Zuniga mencuri tumpuan dalam saingan Piala Dunia empat tahun lalu selepas rempuhannya mengakibatkan keretakan tulang belakang bintang Brazil, Neymar, sekali gus menamatkan cabaran pemain sensasi itu dalam kejohanan di laman sendiri.

Selepas mengharungi beberapa episod kecederaan, Zuniga akhirnya mengumumkan persaraannya, semalam.

"Hari ini, saya memikirkan tentang masa depan serta keluarga. Saya terpaksa melakukannya hari ini dan jika esok, saya mahu berlari di taman bersama anak-anak, saya mampu melakukannya."