Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi, petang tadi tampil memberi penjelasan bahawa pengurusan lama, iaitu FAS-FMG Sdn Bhd, tidak harus diheret dalam isu skuad Sarawak yang berdepan penggantungan lesen oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Berdasarkan perlembagaan FAS, katanya, ahli majlis telah dipilih melalui mesyuarat agung dwi-tahunan (BGM) dan exco pimpinan Datu Sudarsono Osman telah melengkapkan tempoh sehingga 17 September 2016, iaitu tarikh mesyuarat agung tersebut berlangsung.

Dalam mesyuarat itu, Abdul Wahab Rahim telah terpilih menyandang jawatan timbalan presiden, sekali gus memangku jawatan presiden.

Menurut perlembagaan FAS, jika tiada calon untuk jawatan presiden maka timbalan presiden boleh memangku sehinggalah satu mesyuarat agung luar biasa diadakan untuk memilih presiden.

Antara calon lain yang terpilih dalam mesyuarat itu untuk memegang jawatan exco ialah Datuk Posa Majais yang menang jawatan naib presiden dan kini memegang jawatan presiden.

"Razali Dolhan juga menang jawatan naib presiden dan pada masa sekarang, beliau juga adalah Setiausaha Agung dan Bendahari FAS.

"Kesemua exco yang terpilih akan memegang jawatan tersebut sehingga AGM akan datang diadakan pada 2018," katanya.

Menurut Abdullah, pengambilalihan tampuk pimpinan FAS bermaksud "in- total” iaitu aset dan juga liabiliti.

"Ini juga sebagaimana exco pimpinan Datu Sudarsono mengambil alih pimpinan pada musim 2010/2012, sehinggalah beliau memutuskan untuk tidak bertanding mempertahankan jawatan presiden dalam AGM lepas, iaitu selepas enam tahun mengemudi FAS."

Katanya, daripada FAS dibelenggu hutang pada tahun 2009, mereka berjuang menghidupkannya sehingga muncul juara Liga Perdana tanpa kalah pada 2013 dan layak secara merit bertanding dalam Liga Super pada tahun 2014, dan kekal dalam Liga Super ketika pertukaran pimpinan FAS pada tarikh AGM, 17 September 2016.

"Atas sebab tanggungan hutang FAS yang agak besar semasa pimpinan tahun 2009, exco 2010/2012 pada masa itu dipimpin Datu Sudarsono Osman dan Datu Mohammad Abu Bakar terpaksa menggunakan platform FAS-FMG untuk memastikan FAS dapat bertanding dalam Liga Malaysia.

"Kapasiti FAS secara perundangan pada masa tersebut diragui kerana tertakluk dan terdedah kepada tuntutan pemiutang."

Penubuhan FAS-FMG, katanya, adalah usaha yang tidak digembar-gemburkan kerana fokus pada masa itu adalah untuk memastikan FAS dapat bertanding dalam Liga Malaysia pada 2010.

"Akan tetapi, sebagaimana petikan akhbar bahawa Datuk Posa mengatakan pengurusan FAS terdahulu iaitu bagi sesi 2014/2016 berhutang sejumlah RM1 juta dengan ketiga-tiga agensi berkenaan dan keadaan ini menyebabkan lesen FAS untuk bertanding bagi musim 2018 tidak dapat dikeluarkan, agak melampau.

"Tidakkah beliau tahu bahawa dari segi prosedur Liga Malaysia, pengesahan daripada ketiga-tiga agensi tersebut adalah rutin dan ia kriteria tahunan yang perlu dipenuhi," katanya.

Tegasnya, untuk bertanding pada tahun hadapan, laporan dan penyata tahunan bagi tahun sebelumnya hendaklah mendapat pengesahan ketiga-tiga badan berwajib berkenaan sebelum FAM dan FMLLP membenarkan sesuatu pasukan bertanding.

"Tuduhan mengatakan hutang tertunggak sejak 2012 dengan ketiga-tiga badan berwajib berkenaan adalah niat untuk mengalihkan isu sebenar, iaitu kegagalan FAS mendapatkan lesen di bawah pimpinan exco sekarang.

"Jika hutang tertunggak pada 2012 tidak diselesaikan, adalah tidak logik FAS dibenarkan bertanding pada tahun 2013 dan seterusnya memenangi Liga Perdana pada tahun tersebut, tanpa kalah."

Pengesahan tahunan, katanya, adalah tugas sekretariat FAS (setiausaha agung dan pegawai eksekutif) untuk memastikan ia dipenuhi setiap tahun dengan "clean bill" daripada KWSP/LHDN/Perkeso.

"Dengan penerimaan FAS bertanding dalam musim 2017, bermaksud semua kriteria bagi tahun 2016 telah pun dipatuhi dan tiada lagi isu tertunggak bagi tahun 2016.

"Oleh itu, bagi musim 2018, exco baru (sekarang ini) bagi sesi 2016/2018 perlu mendapatkan "clean bill" bagi tempoh di bawah pengurusan mereka bermula Januari 2017.

"Atau barangkali presiden tidak dimaklumkan tentang prosedur ini, dan sekali gus membuat kenyataan sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar."