Chow Chee Keong meninggal dunia pada usia 69 tahun, pagi tadi.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) semalam kerana mengalami masalah jantung.

Anak Chee Keong, Adrian, dalam laman Facebook menyatakan, "Pada jam 8.08 pagi tadi (21.2.2018), bapa saya, Chow Chee Keong, meninggal dunia. Beliau telah berjuang lama untuk terus bersama kami."

Chee Keong merupakan salah seorang pemain Malaysia yang beralih ke kancah profesional dengan menyertai Jardine SA pada 1970 sebelum menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Hong Kong.

Chee Keong turut pernah bermain di England bersama Bedford Town.

Pada peringkat antarabangsa, beliau telah membuat penampilan sulung untuk Malaysia pada usia 15 tahun dan memenangi Pestabola Merdeka pada 1968.

Mempamerkan persembahan cemerlang, Chee Keong dinobat sebagai penjaga gol terbaik dalam tempoh lima tahun (1966-1970) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Beliau juga diundi sebagai penjaga gol terbaik Asia pada abad ke-20 yang dijalankan oleh Persekutuan Bola Sepak Sejarah dan Statistik Antarabangsa (IFFHS).

(Imej: Tony Mariadass)