Jurulatih Atlanta United, Gerardo Martino, dinamakan sebagai Jurulatih Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS) Terbaik 2018.

Jurulatih berusia 55 tahun itu dijulang untuk anugerah tahun ini apabila mengemudi pasukannya mara ke perlawanan akhir Persidangan Timur menentang New York Red Bulls, hujung bulan ini.

Atlanta merakam 21 kemenangan musim ini untuk mencipta rekod dalam era baru MLS (sejak 2000) apabila muncul pasukan terbanyak meledak jaringan, iaitu 70 kali dalam 34 perlawanan.

Martino, yang mengambil alih jawatan berkenaan pada September 2016, mengetepikan jurulatih Los Angeles FC, Bob Bradley, untuk merangkul anugerah berkenaan selepas menerima 32.7 peratus undian dalam kalangan pemain, wakil media terpilih dan kakitangan teknikal kelab.

Bekas pengurus Barcelona dan Argentina itu telah dikaitkan dengan tugasan bersama pasukan kebangsaan Mexico dengan beberapa laporan mengaitkannya akan beralih angin seawal bulan depan.