Bekas jurulatih terkenal Real Madrid, Atletico Madrid dan Barcelona, Radomir Antic, meninggal dunia pada usia 71 tahun.

Individu berbangsa Serbia itu, yang menghabiskan karier pengurusannya selama 27 tahun, meninggal dunia semalam dan pemergiannya itu diiringi dengan kesedihan buat warga bola sepak di Sepanyol

Antic mengecap pencapaian terbaiknya di Atletico di mana dia memperoleh kejayaan berganda, kejuaraan LaLiga dan Copa del Rey musim 1995-96.

Ketua Pegawai Eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil, yang bekerjasama erat dengan Antic sepanjang tempoh tiga musimnya bersama kelab itu, berkata: "Dengan pemergian Radomir, kami kehilangan sebahagian daripada jiwa kelab ini.

"Ketika bersamanya, saya secara peribadi belajar untuk menang, belajar untuk hidup dengan bersemangat -- perkara-perkara yang membuatkan anda menjadi seorang lelaki dan profesional yang lebih baik.

"Saya menguatkan hati untuk berkata kepada isterinya, Vera, Dusan dan Ana bahawa mereka perlu berbangga kerana memiliki suami dan ayah seperti itu kerana selain daripada dia merupakan seorang yang hebat dan profesional, dia juga telah mencipta sejarah di Atletico Madrid dengan usahanya sendiri," katanya.

Presiden, Enrique Cerezo, menambah: "Hari ini merupakan hari yang menyedihkan buat semua atlet dan dunia bola sepak sejak Radomir Antic meninggalkan kita.

"Dia seorang yang hebat dan salah seorang arkitek terbilang pada zaman kegemilangan Atletico Madrid.

"Gelaran liga dan Copa del Rey yang dimenangi di bawah kendaliannya akan kekal selama-lamanya dalam ingatan kami.

"Saya amat berbangga kerana telah bertemu dengannya dan ia adalah satu keistimewaan untuk berkongsi setiap masa bola sepak dengannya.

"Seluruh simpati saya adalah buat keluarganya," katanya.