Antoine Griezmann bergelut di Barcelona kerana pengaruh besar yang dimainkan Lionel Messi, menurut bekas penasihat bintang Perancis itu.

Pemain bernilai €120 juta (RM585.3j) yang diikat daripada Atletico Madrid tahun lalu itu sukar untuk mengulangi prestasi terbaik di samping Messi di Camp Nou.

Penyerang itu, yang gagal menyudahkan sepakan penalti ketika menentang Real Betis minggu lalu sebelum meledak gol dalam kemenangan 5-2, hanya mengumpul dua gol, satu bantuan jaringan dan mencipta empat peluang dalam tujuh penampilan LaLiga musim ini.

Penggempur kelahiran Perancis itu sebelum ini menegaskan tiada masalah di antaranya dan Messi tetapi bekas wakil bintang Perancis tersebut, Eric Olhats, percaya pemenang enam Ballon d'Or berkenaan pasti tidak akan mengatakan hal yang serupa di depan khalayak.

Bercakap kepada Football France, Olhats menganggap Messi tidak berusaha untuk bercakap dan menghantar bola ketika Griezmann baru tiba di Barca.

"Antoine hadir di sebuah kelab di mana Messi akan memuktamadkan keputusan melibat semua perkara," katanya.





"Dia bagaikan maharaja berbanding raja dan dia bersikap dingin mengenai kelibat Antoine.

"Sikapnya memalukan dan dia membuatkan Antoine seperti terpinggir. Saya tidak suka mendengar apabila Griezmann berulang kali menegaskan bahawa tiada masalah di antaranya dengan Messi tetapi ia sebenarnya sebaliknya. Ini adalah pemerintahan kuku besi. Sama ada ada bersamanya atau menentangnya.

"Griezmann hanya akan terus mencuba menyelesaikan masalahnya di atas lapangan, tidak lebih daripada itu.

"Dia tidak pernah berselisih dengan sesiapa pun. Dia sama sekali bukan orang seperti itu. Dia mencintai bola sepak dan disebabkan itu, dia tidak mahu berdebat dengan sesiapa pun.

"Saya telah melihatnya mengatasi banyak saat sukar dalam kariernya.

"Musim lalu ketika Griezmann tiba, Messi tidak bercakap dengannya dan tidak melorongkan bola. Saya rasa dia menderita kerana suasana yang negatif."

Messi dimasukkan dari bangku simpanan untuk membantu Barca membelasah Betis apabila meledak dua gol dan memainkan peranan penting ketika melepaskan bola kepada Griezmann untuk menyudahkan umpanan silang Jordi Alba.

Kedua-dua pemain itu hanya saling bertukar empat hantaran dalam separuh masa kedua yang menyaksikan pencapaian Messi sebaris dengan hantaran yang dilakukan Sergi Roberto (15) dan Sergio Busquets (19).