Pengarah Bola Sepak Manchester City, Txiki Begiristain, berkata berdepan Monaco dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) adalah lebih mudah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Atletico Madrid, Borussia Dortmund, Juventus dan Napoli merupakan lawan yang berpotensi berdepan skuad kendalian Pep Guardiola selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam Kumpulan C di belakang Barcelona.

Begiristain berasakan Monaco akan memberikan cabaran buat The Citizens tetapi beliau masih mengambil positif jika dibandingkan dengan saingan yang lebih sukar buat City dalam aksi kalah mati pada tahun-tahun kebelakangan ini.

"Kami telah bersaing dalam aksi kalah mati dengan Barca, Real dan Bayern Munich," katanya.

"Ia merupakan satu berita baik kerana kami berjaya mengelak daripada bertemu mereka.

"Tetapi sukar untuk menilai pertemuan dengan Monaco ini.

"Mereka mempunyai pemain yang bagus dan mereka sedang bersaing dengan baik dalam Ligue 1."