Beban kewangan dipercayai menjadi punca Sarawak menggugurkan semua tonggak import dan pemain bukan anak tempatan dalam Liga Malaysia musim depan.

Menurut sumber yang rapat dengan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), langkah terbaik untuk kekal bersaing adalah dengan mengetengahkan pemain muda dan menaiktarafkan mereka yang beraksi dalam Piala Presiden.

"Isunya bukan untuk mencuba pemain pemain muda dan membentuk pasukan baru. Tetapi berpunca daripada kekangan kewangan," kata sumber itu.

Tambahnya, biarlah pasukan tidak berapa kuat daripada berhadapan isu pembayaran gaji yang akan memusnahkan reputasi persatuan, tambahan pula Usahama Lialibiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) semakin tegas.

"Pada musim lalu, kami terpaksa mengekalkan beberapa pemain daripada pengurusan lama, yang tidak berbaloi untuk dilepaskan. Kami kerugian begitu besar kerana ada pemain tempatan yang kontraknya hingga RM50,000 sebulan. Ini sahaja cukup membebankan, apatah lagi jika pemain itu cedera," tambahnya.

Katanya, keadaan lebih parah apabila terpaksa menandatangani pemain import baru apabila pemain import yang diambil pada awal musim menunjukkan tanda-tanda 'tidak sihat'.

"Terlalu banyak pembaziran yang berlaku dan akhirnya, pasukan ini menjadi begitu lemah.

"Oleh itu, pada awal musim depan, akan melakukan "restart", membawa angin baharu, dengan cadangan asal adalah rombakan besar-besaran.

"Kami cuba untuk berjimat bagi memastikan setiap pemain yang dihulur kontrak akan memberi sumbangan yang besar kepada pasukan.

"Kami juga menaruh harapan mereka akan beraksi matang seperti yang ditunjukkan oleh beberapa pemain Piala Presiden musim lepas, yang menunjukkan prestasi yang agak menakjubkan," katanya.

Menurut sumber itu lagi, agak malang apabila tiga pemain yang seharusnya menjadi tonggak Sarawak pada musim depan telah menerima tawaran hebat.

"Tommy Mawat Bada, Nur Shahmie Iszuan dan Mohd Shreen Tambi telah dipikat oleh sebuah pasukan berstatus kelab, dengan nilai dikatakan mencecah lebih empat kali ganda daripada gaji RM7,000 sebelum ini," katanya.

Ditanya berkaitan kemungkinan Sarawak akan membawa masuk pemain import pada suku pertama musim, iaitu ketika jendela perpindahan pemain dibuka, sumber terbabit berkata, ia berbalik kepada soal kewangan.

"Jangkaan awal kami memang pasukan ini agak kurang berprestasi kerana ia pasukan benar-benar baharu. Tetapi ketika inilah kami perlukan pengalaman Pengiran Bala dan S. Velloo," tambahnya.

Katanya, yang paling penting, pasukan baharu ini perlu dipersedia dengan semangat, mental dan kegigihan yang kuat.

"Semangat Ngap Sayot perlu diserap semula apabila semua pemain sanggup mati demi pasukan dan demi negeri. Kemudian baharu mereka dilepaskan bagai harimau lapar di padang," tambahnya lagi.