BAYERN MUNICH 2 B. DORTMUND 1

Thomas Muller mahu Bayern Munich mengekalkan momentum mereka pada separuh kedua musim ini berikutan gergasi Jerman itu dalam prestasi hebat selepas menyingkirkan juara bertahan, Borussia Dortmund, dalam saingan DFB-Pokal.


Bayern disekat Dortmund di peringkat separuh akhir musim lalu, namun juara Bundesliga itu membalas dendam untuk meraih kemenangan 2-1 di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Pertahanan tengah, Jerome Boateng, dan Muller menjaringkan gol pada babak pertama untuk menjulang Bayern dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Bayern telah memenangi 15 daripada 16 perlawanan terakhir mereka -- enam kemenangan berturut-turut -- sejak ketua jurulatih, Jupp Heynckes, menggantikan tempat Carlo Ancelotti pada September lalu.

Bercakap selepas perlawanan, Muller memberitahu pemberita: "Kekalahan kecil di Bayern Munich adalah apa yang media mahukan. Untuk memenangi 15 daripada 16 perlawanan adalah sesuatu yang menggembirakan kami.

"Itulah sebabnya kami gembira bermain untuk Bayern kerana kami tidak pernah bosan. Tekanan sentiasa ada dan dalam beberapa minggu lalu, kami beraksi dengan baik.

"Kami mahu meneruskan motivasi ini pada separuh kedua musim ini, kami mempunyai asas yang baik dan kami akan terus menyerang," katanya.

Bayern akan berehat sehingga 12 Januari dan Muller menambah: "Ia berakhir dengan baik pada tahun ini. Kami menang menentang Dortmund dan telah menewaskan RB Leipzig.

"Kami melihat masa depan secara positif dan sedar bahawa rehat akan membantu kami. Kami berusaha keras bulan lalu dan saya fikir kami gembira perlawanan sudah berakhir."

Heynckes gembira dengan kemenangan itu tetapi tidak sepenuhnya berpuas hati selepas menyaksikan Bayern mendominasi di Munich tanpa jaringan yang besar.

"Saya fikir hari ini kami terlepas peluang untuk mematikan permainan ini. Dengan erti kata lain -- jika kami menggunakan peluang yang ada pada babak pertama, kami tidak akan memimpin permainan dengan 2-0, sebaliknya dengan 4-0 atau 5-0," katanya.

"Kami mempunyai peluang mencatat jaringan besar kerana menguasai permainan dari awal sehingga minit terakhir dan bermain dengan sangat pantas kerana lawan bermain dengan terlalu bertahan tanpa penyerang -- itu bermakna tanpa sentuhan ke depan. Tidak semuanya mudah untuk kami mengulangi rentak separuh masa pertama.

"Secara keseluruhan permainan -- kami menguasai permainan selama sejam dengan peluang mencetak gol, saya juga berpendapat bahawa ia adalah satu kemenangan yang sangat berharga," tambah Heynckes.