Bayern Munich mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Werder Bremen 1-0 di Weserstadion awal pagi tadi.

Skuad kendalian Hansi Flick itu turun ke padang dengan kelebihan tujuh mata di depan pencabar terdekat, Borussia Dortmund, dan menyedari kemenangan dalam perlawanan itu sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan mereka biarpun masih berbaki dua perlawanan.

Penyerang prolifik, Robert Lewandowski, muncul penjaring tunggal perlawanan dalam babak pertama sambil Bremen gagal memanfaatkan layangan kad merah buat Alphonso Davies pada 11 minit terakhir.

Kejayaan Bayern mempertahankan gelaran itu jelas berbeza jika dilihat dalam separuh pertama musim ini.

Pasukan yang dikendalikan Niko Kovac ketika itu hanya mencatatkan lima kemenangan daripada 10 perlawanan pertama Bundesliga sebelum jurulatih itu dipecat dan kekalahan kepada Borussia Monchengladbach pada Disember lalu menyaksikan mereka ketinggalan tujuh mata di belakang skuad kendalian Marco Rose itu.

Bagaimanapun, Flick mencetuskan satu kebangkitan luar biasa untuk Bayern mencatatkan rekod tanpa kalah sejak tewas kepada Gladbach.

Dengan kejuaraan liga sudah berada dalam genggaman, mereka kini akan berusaha untuk melengkapkan kejuaraan 'treble' musim ini.

Bayern akan berdepan Bayer Leverkusen dalam perlawanan akhir DFB-Pokal di Olympiastadion, Berlin pada 4 Julai ini.

Mereka juga membawa kelebihan tiga gol daripada perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah ketika menentang Chelsea, biarpun format baki saingan musim ini masih belum ditentukan.