AJAX 3 BAYERN MUNICH 3

Robert Lewandowski berkata Bayern Munich masih boleh memberikan persembahan yang jauh lebih baik apabila dia meratapi pembaziran peluang pasukannya dalam kesungguhan selepas seri dengan Ajax dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Lewandowski meledak dua gol untuk Bayern meraih kedudukan teratas Kumpulan E selepas seri 3-3 dalam aksi mendebarkan di Amsterdam, dengan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan baki 10 pemain.

Bayern mendahului perlawanan sebanyak dua kali tetapi melepaskan kelebihan mereka, termasuk jaringan Kingsley Coman di penghujung perlawanan, yang dipadamkan oleh Nicolas Tagliafico pada minit ke-95.

Meskipun Bayern maju ke pusingan 16 sebagai pemenang kumpulan, Lewandowski -- yang mengakhiri kempen peringkat kumpulan sebagai penjaring terbanyak di depan Lionel Messi dengan lapan gol -- tetap tidak berpuas hati.

"Ia adalah permainan yang sangat menyakitkan," kata penyerang Poland itu. "Namun, apa yang kami tonjolkan untuk menguasai perlawanan itu tidak bagus. Kami kehilangan faktor itu.

"Ajax menguasai lebih banyak bola. Kami masih mempunyai deretan peluang, namun kami tidak menggunakannya.

"(Penjaga gawang Ajax, Andre) Onana juga melakukan tugas yang hebat, kami mempunyai lebih banyak potensi."

Bayern kehilangan seorang pemain pada minit ke-75 selepas Thomas Muller dilayangkan kad merah ekoran mengangkat tinggi butnya. Dia menyusuli jejak Maximilian Wober yang dibuang padang, lapan minit sebelumnya.

Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, menambah: "Ia perlawanan yang sangat menarik pada akhirnya. Wujud perjuangan tinggi dan keghairahan di dalamnya.

"Ajax sememangnya sebuah pasukan yang mantap. Kami sudah menyaksikan keampuhan mereka di Munich. Perkara yang paling penting ialah kami menjuarai kumpulan."

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic, bersikap jujur ​​dalam penilaiannya mengenai perlawanan itu biarpun kelab itu menduduki puncak kumpulan.

"Satu-satunya perkara positifnya ialah kami menjuarai kumpulan," kata Salihamidzic. "Kami tidak memberikan persembahan yang baik, kami sama sekali menyerah dalam perlawanan ini dan ini sesuatu yang tidak boleh berlaku."