Lothar Matthaus berkata Carlo Ancelotti dan Bayern Munich akan menjadi bahan ketawa jika mereka gagal menjulang kejuaraan Bundesliga musim ini.

Bayern gagal memulakan saingan musim 2016-17 dengan baik apabila tewas kepada Atletico Madrid dan Rostov 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) manakala tewas kepada Borussia Dortmund dalam aksi liga.

Mereka juga telah dikejutkan dengan keputusan seri di Allianz Arena ketika bertemu Cologne dan Hoffenheim tetapi bangkit dalam enam perlawanan berturut-turut, termasuk menewaskan RB Leipzig 3-0 - untuk memastikan mereka mendahului tangga liga dengan kelebihan tiga mata menjelang saingan yang bakal bersambung pada Januari 2017.

Matthaus menjangkakan aksi separuh kedua musim ini akan menjadi lebih sukar buat Bayern tetapi berkata mereka harus melakar kejayaan kelima berturut-turut meraih gelaran Bundesliga untuk mengelak daripada menjadi bahan jenaka di Jerman.

"Bayern perlu mengelak daripada ditertawakan oleh Jerman jika gagal memenangi Bundesliga musim ini," kata Matthaus.

"Ancelotti gagal mengulangi kejayaan yang dicipta oleh pengendali terdahulu, Pep Guardiola. Bundesliga sudah menjadi sasaran utama pasukan musim ini.

"Bagaimanapun, saya fikir perkara ini dilihat berbeza secara dalaman. Jika Bayern dapat menjamin kejayaan di peringkat domestik, mereka akan memberikan tumpuan kepada UCL.

"Saya tidak sabar untuk menyaksikan bahagian kedua musim ini kerana Bundesliga masih mampu dimenangi oleh mana-mana pasukan.

"Ia sangat baik untuk bola sepak Jerman, penyokong dan terutama sekali kepada Bayern. Mereka telah dipaksa untuk memberikan usaha 100 peratus dalam setiap perlawanan akan datang."