BAYERN MUNICH 3 PSG 1

Unai Emery berasa suka dalam duka selepas Paris Saint-Germain (PSG) layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) selaku juara kumpulan walaupun mereka kalah di Bayern Munich, awal pagi tadi.


Harapan PSG untuk mengakhiri peringkat kumpulan dengan catatan bersih 100 peratus dimusnahkan gergasi Jerman, Bayern, yang merakamkan kemenangan 3-1 di Allianz Arena.

Bekas pemain tengah Lyon, Corentin Tolisso, menjaringkan dua gol untuk menokok gol awal Robert Lewandowski buat Bayern sementara bintang PSG, Kylian Mbappe, turut mencetak gol.

PSG tetap mara ke pusingan 16 selepas mendahului Kumpulan B dan keputusan itu disambut ketua jurulatih, Emery, dengan perasaan bercampur-baur.

"Matlamat utama kami adalah untuk bermain dengan baik dan memenangi perlawanan. Yang kedua, kami turun untuk memimpin kumpulan," kata Emery.

"Jadi, saya 50 peratus gembira dan 50 peratus lagi kecewa. Ketika keputusan 2-1, kami lebih dekat menjadikannya 2-2 daripada 3-1. Jika kami menyempurnakan peluang yang ada, hasilnya mungkin berbeza tetapi kami gagal mencapainya.

"Ketika Bayern mendahului 3-1, pemain beranggapan bahawa mereka tidak dapat mengubah hasilnya sebelum berusaha menenangkan, menguasai dan mengukuhkan permainan untuk mengikat Bayern serta memastikan tempat pertama dalam kumpulan."

Pemain tengah PSG, Marco Verratti, yang menyumbang kemenangan 3-0 ke atas Bayern di Paris sebelum ini, menambah: "Kami tahu kami bermain dengan pasukan hebat seperti Bayern yang tampil dengan sangat baik di tempat sendiri.

"Bayern jelas sedar dengan pengalaman mereka di Paris, mereka tidak memberikan banyak ruang di bahagian pertahanan.

"Mereka mencetuskan masalah kepada kami pada separuh masa pertama dan menjaringkan gol awal. Sukar untuk bangkit menentang pasukan besar, maka pada babak kedua kami keluar dari bilik persalinan dengan mentaliti yang berbeza, kami dapat kembali dalam usaha mengikat kedudukan 2-2.

"Ia agak sukar tetapi kami mempunyai peluang, peluang kami seimbang tetapi apabila anda tidak memanfaatkan peluang terhadap pasukan gergasi... mereka akan melakukannya.

"Ada perkara yang perlu diperbaiki tetapi saya tidak fikir Bayern menguasai permainan. Kami mempunyai empat atau lima peluang di depan gol.

"Mereka bermain bola sepak yang bagus dan mempunyai beberapa pemain hebat. Kami perlu menganalisis permainan in tetapi ia bukan persembahan yang mengecewakan," katanya lagi.