Hansi Flick mengingatkan Bayern Munich supaya berhati-hati dengan Holstein Kiel apabila bertemu dalam pusingan kedua DFB-Pokal, awal pagi esok.

Juara bertahan itu akan bertandang ke Holstein-Stadion dengan kekesalan melepaskan pendahuluan dua gol ketika tewas 2-3 kepada Borussia Monchengladbach dalam Bundesliga, Sabtu lalu.

Kiel -- yang menghuni kedudukan ketiga saingan kedua Bundesliga -- sudah pasti mengintai kejutan ke atas jaguh Eropah buat julung kalinya.

Justeru, pengurus Bayern itu, yang akan kembali mendapatkan khidmat Serge Gnabry, memberi amaran bahawa pasukan gergasi Bavaria tersebut tidak akan memberi muka kepada pencabar mereka terbabit.

Dia berkata dalam sidang media semalam,: "Holstein Kiel tidak akan rugi apa-apa.

"Saya mengikuti perkembangan mereka secara dekat, saya masak benar dengan Uwe Stover dan sudah lama mengenalinya, jadi secara semula jadinya saya ada mengikuti situasi mereka dengan lebih dekat.

"Pasukan mereka bertambah mantap -- mereka mempunyai perancangan yang jelas dan gemar menyerang."



Flick menambah: "Kami akan menangani tugasan ini dengan serius. Kami dijangka memenangi perlawanan ini tetapi bukan selalunya mampu memenuhi harapan ini."

Eric Maxim Choupo-Moting akan tersisih akibat kecederaan belakang, sementara Bayern tidak akan mengambil risiko ke atas Kingsley Coman dan Flick mendedahkan pemain sayap itu "mengadu tidak begitu selesa di bahagian ototnya."

Bekas penolong jurulatih Jerman itu hanya akan membuat keputusan mengenai siapa yang menyertai rombongannya ke Kiel pada hari perlawanan.

"Kami akan berlatih seperti biasa pada hari ini, menjelang perlawanan ini sebelum memutuskan siapa yang akan bersama kami ke Kiel," katanya.

"Jadual padat pada masa ini jadi kami menghabiskan banyak waktu di hotel. Itulah sebabnya kami tidak melakukan perjalanan sebelum hari perlawanan."