Bayern Munich tidak banyak kelemahan tapi bukan sempurna -- pengurus Lyon 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Ogos 2020 139
Bayern Munich tidak banyak kelemahan tapi bukan sempurna -- pengurus Lyon 
Pengurus Lyon, Rudi Garcia, mengakui lawan yang bakal dihadapi  dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok, Bayern Munich, merupakan sebuah pasukan yang hampir tidak mempunyai kepincangan, tetapi menganggap tiada pasukan yang sempurna.

Bayern menewaskan Barcelona 8-2 dalam suku akhir minggu lalu untuk merakamkan kemenangan kesembilan berturut-turut dalam kejohanan itu musim ini untuk mencatat kemenangan ke-27 daripada 28 perlawanan. 

Namun, Lyon, yang menyingkirkan pasukan pilihan, Manchester City, di peringkat sebelumnya, turut mengatasi jaguh Itali, Juventus, dalam pusingan 16,  justeru Garcia menegaskan tiada apa yang perlu digentarkan anak buahnya. 

"Kami tidak boleh merujuk kepada statistik kerana kalau tidak, kami hanya perlu duduk di hotel sambil menonton perlawanan ini," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan Selasa.

"Kami tahu siapakah yang akan kami hadapi -- mereka tidak mempunyai banyak kelemahan tetapi seperti semua pasukan di dunia ini, tiada pasukan yang sempurna.

"Terserah kepada kami untuk menjelmakan kemampuan. Kami mampu melakukan apa sahaja dengan pasukan ini malah menimbulkan masalah untuk Bayern.

"Ya, kami bukan pasukan pilihan tetapi kami telah mengalahkan beberapa pasukan hebat."




Lyon mengejutkan City 3-1 di Lisbon, Ahad lalu, melalui gol berganda daripada Moussa Dembele selepas Kevin De Bruyne membatalkan jaringan pembukaan Maxwel Cornet.

Sehubungan itu, Garcia yakin pasukannya, yang menduduki tempat ketujuh dalam kempen musim Ligue 1 yang ditamatkan lebih awal, yakin dengan keupayaan barisan pemainnya sehingga mampu mencapai ke tahap ini.

"Seronok untuk berada dalam separuh akhir -- ia semestinya menerusi usaha keras. Dua peringkat kelayakan yang telah kami harungi mampu menyuntik keyakinan sekiranya kami memerlukannya.

"Ia sesuatu yang sangat menggembirakan apabila melihat pemain Lyon saling mencurahkan segalanya."

Garcia menambah: "Jika berdasarkan statistik City sebelum perlawanan, kami hanya boleh berkata kepada diri sendiri bahwa tidak banyak yang mampu boleh lakukan. Begitu juga untuk bertemu Bayern. 

"Kami tahu bahawa kami tiba sebagai 'orang luar', tetapi kami akan mempunyai peluang sendiri dan perlu merebut peluang terhidang."

Wira perlawanan itu, Dembele, masuk sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika menentang City sambil Karl Toko Ekambi lebih gemar menerajui jentera serang, namun pengurus berbangsa Perancis itu tidak menolak perubahan dalam kesebelasan utamanya awal pagi esok. 

"Fizikal semua pemain dalam keadaan baik," katanya. 

"Tetapi kami telah berbincang dengan kakitangan sama ada beraksi empat hari kemudian akan menimbulkan masalah.

"Segalanya sepatutnya berjalan dengan lancar tetapi kami memiliki kemampuan untuk merombak pasukan. 

"Jika seorang atau dua pemain tidak bersedia, maka yang lain mampu mengambil alih."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen