Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, berkata juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu amat tidak bernasib baik untuk tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan suku akhir pertama di laman sendiri awal pagi tadi.

PSG meninggalkan aksi bersalju di Bavaria itu dengan kelebihan 3-2 menerusi jaringan berganda yang disumbangkan Kylian Mbappe.

Dalam perlawanan ulangan seperti final musim lalu itu, Bayern melakukan 31 percubaan -- 12 daripadanya merupakan percubaan tepat -- berbanding PSG yang hanya melakukan enam percubaan tetapi mereka masih ketinggalan di sebalik ketiadaan penyerang berstatus bintang, Robert Lewandowski.

Mbappe membuka jaringan pada minit ketiga sebelum Marquinhos menggandakan kelebihan itu 25 minit berselang tetapi Bayern bangkit mengejar kedudukan hasil penyudah Eric Maxim Choupo-Moting dan Thomas Muller -- yang menyamakan kedudukan selepas sejam permainan.

PSG, bagaimanapun, memperoleh gol kemenangan apabila Mbappe kembali meletakkan pasukannya di depan, sekali gus menamatkan rekod 19 perlawanan tanpa kalah Bayern dalam UCL.

"Kekalahan ini merupakan sesuatu yang amat tidak bernasib baik buat kami," kata Flick kepada wartawan selepas perlawanan itu.

"Paris amat-amat berkesan.

"Kami mendominasi dan melakukan 31 percubaan tetapi saya perlu memberikan pujian buat pasukan saya atas motivasi dan mentaliti mereka. Kami tidak begitu berkesan ketika kami mencuba menggunakan peluang kami.

"Sasaran kami tetap untuk layak ke separuh akhir. Keputusan hari ini tidak akan mengubah perkara itu," katanya.