BAYERN MUNICH 5 EINTRACHT FRANKFURT 2

Pengurus Bayern Munich, Hansi Flick, memuji prestasi David Alaba dalam kemenangan 5-2 ke atas Eintracht Frankfurt bagi aksi Bundesliga malam tadi.


Kebiasaannya pertahanan kiri itu diletakkan di bahagian pusat pertahanan untuk Bayern mendahului puncak dengan kelebihan empat mata.

Walaupun jaringan berganda Martin Hinteregger, yang membantu Eintracht merapatkan jurang dengan seteru mereka itu selepas ketinggalan 0-3 pada awal babak kedua, ia masih tidak menggugat Bayern untuk mencipta kemenangan kelapan berturut-turut.

Flick berpuas hati dengan penampilan Bayern itu sambil menghamburkan pujian khusus buat Alaba dan pencetak gol, Thomas Muller.



"Saya cukup berpuas hati dengan babak pertama. Kami sangat fokus. Kami mencipta deretan peluang untuk menyumbat gol," katanya dalam sidang akhbar.

"Sayangnya, kami tidak menjaringkan gol yang cukup, mungkin kami patut lebih banyak gol lagi. Kami juga tidak memberi peluang kepada lawan.

"Dua pemain yang menonjol dengan salah satunya merupakan Thomas Muller. Dia begitu licik dan mencari ruang dengan baik. Tetapi tentu saja, David Alaba yang mengetuai benteng dalam babak pertama bermain dengan cemerlang.

"Dalam babak kedua kami, membiarkan lawan bangkit. Kami cuai dalam tempoh 5-10 minit. Kami harus bertahan dengan lebih baik dan tekal. Kami tahu bahawa ini adalah sumber kekuatan Frankfurt. Malangnya kami membiarkan mereka meledak dua gol.

"Tetapi reaksi pemain selepas itu adalah baik dan saya menyukainya. Kemudian kami cuba mendapatkan gol lagi dan akhirnya gol keempat dan kelima hadir."

Leon Goretzka, Muller, Robert Lewandowski dan Alphonso Davies turut mencetak nama selaku penjaring sebelum pertemuan getir "Der Klassiker" menghadapi Borussia Dortmund dalam pertembungan tengah malam Rabu ini.