Pengendali Bayern Munich, Carlo Ancelotti, menegaskan pasukannya masih berpeluang untuk bangkit dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah meskipun tewas 2-1 kepada Real Madrid dalam aksi pertama.

Dua gol oleh Cristiano Ronaldo dalam babak kedua menyaksikan Madrid bangkit daripada ketinggalan selepas gol daripada Arturo Vidal.

Pemain tengah Chile itu gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk melebarkan jurang dalam babak pertama, namun kehilangan Javi Martinez -- ekoran dibuang padang selepas menerima layangan kad kuning kedua -- membenarkan Los Blancos untuk bangkit.

Ancelotti mengakui bekas pasukannya itu memiliki kelebihan di Santiago Bernabeu, namun enggan mengibarkan bendera putih kerana yakin Bayern masih berpeluang ke separuh akhir.

"Kami mendominasi perlawanan tapi dalam babak pertama, kami kurang ketajaman," katanya.

"Kami juga tidak bernasib baik.

"Beraksi dengan 10 pemain menyukarkan keadaan tetapi pemain beraksi dengan baik.

"Kami masih belum, kami belum mati lagi. Meskipun Real Madrid memiliki peluang lebih baik, kami masih berpeluang."

Manuel Neuer beberapa kali muncul penyelamat di hadapan gawang apabila menafikan percubaan Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo.

Penjaga gol no.1 Jerman itu berasakan Bayern sepatutnya melunaskan peluang dalam babak pertama tetapi menegaskan mereka yakin mampu bangkit di Sepanyol.

"Kami yakin mampu melakukannya," dia memberitahu ZDF.

"Kami menguasai babak pertama, dan sepatutnya kami mendahului tiga gol."