Niko Kovac meninggalkan Bayern Munich selepas tewas 1-5 kepada Eintracht Frankfurt yang menyebabkan juara bertahan itu tergelincir ke tangga keempat Bundesliga.

Tekanan semakin memuncak buat Kovac sepanjang musim ini biarpun pengurus berbangsa Croatia itu membantu Bayern menjulang trofi Bundesliga dan DFB-Pokal dalam tahun pertamanya musim lalu.

Kunjungan ke Frankfurt kelmarin menyaksikan Bayern mengalami kekalahan besar kepada bekas kelab yang pernah dibimbing Kovac itu -- di mana dia pernah membimbing Eintracht menjuarai DFB-Pokal musim 2017-18 sebelum menyertai skuad Bavaria itu.

Bayern gagal mencipta rekod tanpa bolos dalam lapan perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan mereka perlu bangkit sebelum menewaskan kelab divisyen dua, Buchom, dalam perlawanan DFB Pokal minggu lalu.

Walaupun Kovac membimbing Bayern untuk memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah, kelab gergasi Jerman itu berasakan sudah sampai masanya untuk mereka menukar jurulatih.

Bekas pengurus Manchester United, Chelsea, Real Madrid and Inter Milan, Jose Mourinho, telah dikaitkan untuk menjadi pengganti Kovac selepas jurulatih berbangsa Portugis itu berkata dia sedang mempelajari tentang bola sepak di Jerman.

Mauricio Pochettino, yang masa depannya bersama Tottenham masih tidak menentu selepas ditewaskan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, turut dikaitkan untuk menyertai Bayern.

Penolong jurulatih, Hans Flick, akan mengambil alih skuad utama Bayern buat sementara waktu dan perlu mempersiapkan pasukan itu menjelang perlawanan menentang Olympiacos dalam Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini dan pertembungan 'Klassiker' menentang Borussia Dortmund hujung minggu depan.

"Prestasi pasukan dalam beberapa minggu lalu, termasuk keputusan, telah menunjukkan bahawa kami perlu mengambil tindakan," kata Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, dalam satu kenyataan.

"(Presiden) Uli Hoeness, (pengarah kesukanan) Hasan Salihamidzic dan saya telah mengadakan perbincangan yang serius dengan Niko semalam dan menetapkan Niko bukan lagi jurulatih Bayern.

"Kami semua kecewa dengan perkembangan ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada Nico Kovac bagi pihak FC Bayern di atas usahanya, terutama ketika memenangi kejuaraan berganda musim lalu," katanya.

Kovac, bagaimanapun, memberikan reaksi yang mengejutkan dengan berkata pemergiannya adalah perkara terbaik buat Bayern.

"Saya fikir ia adalah keputusan paling tepat buat kelab ini dan buat masa ini.

"Keputusan dan cara kami bermain dalam perlawanan terakhir membuatkan saya memilih keputusan ini.

"Saudara saya, Robert, dan saya mahu berterima kasih kepada Bayern untuk satu setengah tahun ini.

"Sepanjang waktu itu, pasukan kami telah memenangi kejuaraan, DFB Pokal dan DFL-Supercup.

"Ia waktu yang hebat.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan dan kelab ini," katanya.