Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berpendapat Bayern Munich dan Manchester City merupakan pilihan mudah untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Kedua-dua pasukan itu di landasan terbaik untuk mara ke suku akhir tatkala City menewaskan Real Madrid 2-1 sambil Bayern mudah membenam Chelsea 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16.

Saingan musim ini akan bersambung bulan depan dalam satu format kejohanan kecil di Lisbon selepas ditangguhkan sejak Mac lalu ekoran wabak coronavirus.

Usaha Liverpool untuk mempertahankan kejuaraan berakhir selepas tewas secara agregat 4-2 di tangan Atletico Madrid dan Klopp menjangkakan City atau Bayern akan bergelar juara.

"Bagi saya, dua pilihan adalah Bayern dan City," katanya.

"Ia akan menjadi aksi menarik.

"Bayern sangat menyinar di Jerman. Selepas Hansi Flick mengambil alih, mereka sangat mengagumkan. Dua pasukan ini adalah pilihan. Saya tidak tahu apa akan berlaku. Lihat nanti separuh akhir atau apa sahaja.

"Saingan sangat menarik kerana ia baru. Apabila anda melihat skuad City, semua orang perlukan tuah. Jika anda mahu memenangi Liga Juara-Juara, anda harus memiliki kesebelasan utama yang bersedia.

"Pasukan lain tetap berpeluang tetapi saya benar-benar fikir kedua-dua pasukan ini adalah calon utama. Peluang sangat cerah. Namun, walaupun sewaktu kami tewas 4-0 di tangan City, kami sepatutnya dapat meledakkan tiga gol.

"Kami patut dan akan melalui hari yang biasa. Mereka memiliki kualiti tetapi tiada pasukan yang sempurna tidak kira City, Bayern atau kami. Namun, anda memerlukan kesempurnaan ketika ini untuk memenangi Liga Juara-Juara.

"Saya akan saksikannya kerana ia sangat menarik tetapi malangnya kami tidak dapat melakukannya pada tahun ini."