Pengurus sementara Bayern Munich, Hansi Flick, menyasarkan tempat teratas Kumpulan B, Liga Juara-Juara (UCL) tetapi terbuka untuk melakukan rombakan dalam kunjungan ke Red Star Belgrade awal pagi esok.

Juara Jerman itu telah menempah tempat di peringkat kalah mati kejohanan berkenaan selepas memenangi empat perlawanan pembukaan.

Kemenangan di Belgrade akan mengesahkan tempat mereka di kedudukan teratas kumpulan itu dan di atas kertas, ia sepatutnya akan membantu mereka dalam pusingan 16 untuk bertemu salah sebuah pasukan naib juara daripada kumpulan lain.

Flick, yang telah memenangi ketiga-tiga perlawanan di bawah kendaliannya sejak mengambil alih tugasan tersebut awal bulan ini, berhasrat untuk meneruskan rentak itu ketika menentang Red Star.

"Esok, kami mahu mendahului kumpulan," katanya dalam sidang media semalam.

"Saya bersikap terbuka untuk membuat pilihan pemain. Sesetengah pemain perlu mendapatkan rentak manakala ada yang perlu berehat."

Jerome Boateng boleh diturunkan selepas menjalani penggantungan manakala Thiago Alcantara juga merupakan sebahagian daripada skuad walaupun dibelenggu kecederaan pergelangan tangan.

"Boateng berlatih dengan baik ketika rehat antarabangsa," kata Flick. "Dia merupakan satu lagi pilihan buat kami tetapi saya belum lagi membuat keputusan mengenai siapakah yang akan beraksi.

"Bagi Thiago pula, dia mengalami kecederaan di pergelangan tangannya tetapi boleh diturunkan. Dia seorang pemain yang sering boleh diharapkan dan mempunyai kualiti yang tinggi. Bayern bangga boleh menggunakan khidmatnya."

Biarpun barisan Red Star tewas 0-5 di Tottenham selain mengalami kekalahan 0-4 kepada lawan yang sama dalam pertemuan terakhir di tempat sendiri, Flick bagaimanapun menjangkakan satu ujian sukar di ibu negara Serbia itu.

"Atmosfera di stadium ini adalah sesuatu yang istimewa. Ia membuatkan saya tertanya-tanya bagi mengharunginya. Kami tidak sabar-sabar lagi untuk melakukannya."

Leon Goretzka bersedia untuk membuat penampilan kedua dalam kempen UCL musim ini sambil menggesa rakan sepasukannya agar mengekalkan momentum kemenangan mereka.

"Ini adalah satu perasaan yang hebat untuk memenangi perlawanan, namun ia akan bertambah menarik berdasarkan cara kami memenangi perlawanan," kata pemain tengah itu.

"Walaupun kami sudah layak, kami mahu memenangi perlawanan ini. Kami mahu meneruskan rentak dan memenangi kumpulan ini."