Bayern Munich berpeluang dinobatkan sebagai juara Bundesliga buat tahun kelapan berturut-turut hari ini -- namun pengurus, Hansi Flick, menjangkakan pesaing terdekat, Borussia Dortmund, akan menangguhkan hasrat pasukannya.

Sekiranya Dortmund tewas kepada kelab kerdil, Fortuna Dusseldorf, malam ini maka kemenangan Bayern ke atas Borussia Monchengladbach di kandang sendiri esok akan mengesahkan kejuaraan mereka.

Mereka kini menerajui Bunsdeliga berbekalkan 10 mata dengan baki tiga perlawanan.

Namun, Flick yakin Dortmund tidak mengecewakan di Dusseldorf.





"Dortmund akan melakukan apa sahaja untuk memenangi perlawanan itu," kata Flick.

"Setiap pemain mempunyai semangat untuk memberikan segalanya selagi sesuatu masih boleh dilakukan.

"Kami akan fokus kepada perlawanan sendiri yang kami ingin menangi. Perlawanan ini akan menjadi sukar kerana Gladbach merupakan sebuah pasukan yang mantap."

Bayern turut kehilangan tonggak utama di barisan serangan sekali gus membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi hujung minggu ini.

Thomas Muller dan Robert Lewandowski digantung perlawanan ekoran kad kuning, ini bermakna Joshua Zirkzee mungkin akan dijadikan taruhan untuk merobek gawang Gladbach.

Penyerang Belanda berusia 19 tahun itu telah menonjolkan kemampuannya apabila merekodkan tiga gol selepas mengharungi 191 minit aksi Bundesliga, .

Seorang lagi bintang muda dari Ghana berusia 25 tahun, Otschi Wriedt, turut berada dalam skuad simpanan setelah dinaikkan pangkat ke pasukan utama di Allianz Arena itu.

Flick mengakui mempunyai "satu atau dua pilihan" untuk menggantikan Muller dan Lewandowski dan dia dilaporkan meluangkan lebih banyak masa dengan Zirkzee dalam latihan kelmarin.

"Dia mempunyai susuk tubuh yang sasa dan lincah, memiliki penyudah yang bagus dan mengawal bola dengan baik," katanya mengenai remaja itu.

"Ini adalah aspek yang diperlukan sebagai seorang penyerang di sini. Dia berada di landasan yang betul dan untuk esok, dia pasti merupakan alternatif yang baik. Joshua juga mendapat kepercayaan daripada pemain lain."