Pengendali Argentina, Edgardo Bauza, masih optimis dengan kemampuan pasukannya untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 meskipun dihimpit prestasi hambar ketika ini.

Tewas 3-0 kepada Brazil di Belo Horizonte pada Khamis meletakkan Argentina di kedudukan kelima saingan kumpulan Amerika Selatan dengan hanya empat kemenangan daripada 11 perlawanan.

Jika La Albiceleste gagal mengutip tiga mata berdepan Colombia pada Selasa, juara dunia dua kali itu akan berdepan kesukaran untuk meletakkan diri dalam kalangan empat pasukan terbaik untuk mara secara automatik.

Bauza, bagaimanapun, kekal yakin dengan kemampuannya anak buahnya dan menggesa mereka mempamerkan aksi sebenar di San Juan.

"Saya tidak pernah gusar dengan kemampuan kami untuk mara ke Russia 2018," katanya dalam sidang media.

"Walaupun keciciran mata berharga mengecewakan kami, tetapi kami masih mampu melakukannya. Kami memiliki skuad yang ampuh, jadi kami yakin untuk mara.

"Kritikan yang dilontarkan terhadap kami ketika ini adalah normal. Saya berharap di San Juan nanti penyokong akan terus memberikan sokongan kerana kami perlukan kekuatan itu.

"Saya tidak mengguna pakai sebarang taktikal tetap. Saya percaya dengan kemampuan pemain saya, mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

"Seperti biasa, saya hanya menyasarkan kemenangan dalam setiap perlawanan. Kami mahu bermain dengan baik dan melakar kemenangan."

Argentina kini ketinggalan dua mata di belakang Colombia yang menghuni tangga ketiga.