Perlawanan persahabatan 'Battle Of The Reds' di antara bekas pemain Manchester United dan Liverpool di Kota Kinabalu pada 20 November ini bakal menampilkan beberapa nama besar daripada kedua-dua pasukan berkenaan.

Antara bekas pemain yang akan memeriahkan lagi perlawanan di Stadium Likas itu ialah legenda Manchester United, Teddy Sheringham, serta legenda Liverpool, Steve McManaman.

Selain Sheringham, turut bakal beraksi ialah rakan sepasukannya ketika The Red Devils meraih kejuaraan 'treble' pada musim 1998/1999, Ronny Johnsen dan Wes Brown.

Antara bekas pemain United lain yang mengesahkan akan beraksi dalam perlawanan itu ialah Eric Djemba Djemba dan Clayton Blackmore.

Sementara itu, kehadiran McManaman akan disertai bekas-bekas pemain Liverpool yang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada 2005, iaitu Vladimir Smicer, John Arne Riise dan Luis Garcia selain seorang lagi nama besar, Emile Heskey.

Pengarah Masters Football Asia, Ian Holahan, dalam kenyataan medianya baru-baru ini berharap orang ramai, terutama penyokong United dan Liverpool, akan hadir menyaksikan pertemuan tersebut

"Kami gembira membawa Battle of the Reds ke Kota Kinabalu kerana bola sepak adalah sukan yang dinikmati masyarakat dan acara seperti ini memberikan peluang besar bagi keluarga untuk sama-sama meraikan dan menikmati permainan yang indah," katanya.

Tambahnya, pada hari perlawanan, pintu masuk stadium akan dibuka pada jam 5.30 petang manakala perlawanan dijadualkan bermula pada jam 7.00 malam.

Untuk maklumat lanjut, sila lawat www.facebook.com/firmhorizon / Instagram: thebattleofthereds.