Michy Batshuayi bersedia untuk memulakan aksi suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ketika Chelsea menentang Bournemouth awal pagi esok sambil Antonio Conte tidak mempunyai kebimbangan mengenai kecergasan Alvaro Morata.

Morata direhatkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Huddersfield Town dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akibat keletihan dan masalah belakang, yang menyaksikan Eden Hazard mengetuai jentera serangan.

Batshuayi sekali lagi sekadar memerhatikan perlawanan dari bangku simpanan bersama bekas penyerang Real Madrid itu ketika The Blues mengalahkan Southampton 1-0 pada Sabtu lalu, dan pemain antarabangsa Belgium itu akan diberi kesempatan untuk berdepan The Cherrish.

"(Morata) dalam keadaan baik. Dia menghadapi masalah belakang sebelum aksi bertemu West Ham dan dia begitu bergelut," kata Conte.

"Bagaimanapun, dia semakin baik dan sedang mencari rentak terbaiknya. Esok, saya ingin memberi peluang bermain kepada Batshuayi."

Pengurus berbangsa Itali itu memberi isyarat bahawa produk akademi, Callum Hudson-Odoi, Dujon Sterling dan Ethan Ampadu juga mungkin terlibat dalam aksi di Stamford Bridge itu nanti, namun Charly Musonda akan tercicir selepas mengadu masalah pangkal paha.

"Mereka adalah masa depan Chelsea, Sterling adalah pemain yang sangat baik, Odoi memenangi Piala Dunia (B-20) dan Ampadu beraksi dalam perlawanan terakhir (EFL) bertemu Everton.

"Saya harus mempertimbangkan pemain muda jika mereka layak mendapat peluang ini. Sterling sering berlatih dengan kami musim ini. Ampadu berlatih bersama pasukan utama setiap hari dan Odoi berhak mendapat peluang untuk membuktikan dia boleh bermain untuk pasukan ini selama 10 tahun, 15 tahun," tambahnya.

Berkenaan sama ada pemain terpinggir berpeluang untuk mengukuhkan tempat dalam kesebelasan andai mempamerkan prestasi mengagumkan ketika berdepan Bournemouth, Conte berkata: "Saya berharap mempunyai masalah seperti ini.

"Sebelum membuat keputusan mengenai kesebelasan utama, bahagian terakhir badan yang saya lihat adalah kepala. Mereka tidak diturunkan hanya kerana mereka adalah pemain utama atau mempunyai reputasi. Ini bukan idea bola sepak saya.

"Jika mereka layak, mereka bermain. (Andreas) Christensen beraksi pada usia 21 tahun. Saya mengetengahkan Christensen kerana dia berhak. Dia adalah prospek hebat pada masa ini dan masa depan," katanya lagi.