Pembatalan kejohanan peringkat umur, Piala Presiden dan Piala Belia, merupakan satu berita buruk buat pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik.

Pandangan tersebut diluahkan jurulatih Terengganu FC (TFC) III, Badrul Afzan Razali, selepas pertandingan bawah 21 tahun itu berdepan kemungkinan untuk dibatalkan.

Justeru bekas pemain Terengganu itu berharap ada perkembangan positif daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) mengenai status kejohanan berkenaan.

"Situasi ini sudah tentu sesuatu yang sedih dan mengecewakan khususnya penggiat bola sepak di peringkat belia.

"Sekarang hanya boleh sediakan pasukan untuk musim depan dan ini bermaksud setahun tanpa aksi kompetitif.

"Mereka kemudian cadangkan untuk serap pemain ke skuad senior tapi berapa perlawanan saja yang disambung manakala Piala Cabaran turut dibatalkan.

"Bagaimanapun kami akur situasi semasa menyukarkan semua pihak dan hanya menunggu keputusan rasmi JPKT," jelas Badrul.

Juara edisi 2018, TFC III, ketika ini mendahului Kumpulan A Zon Utara selepas merekodkan tiga kemenangan dan satu seri selepas empat perlawanan.

Semua keputusan perlawanan itu begitupun bermakna tidah sah dan terbatal sekiranya JPKT bersetuju dengan pembatalan kejohanan Piala Presiden.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC) III