Bartomeu beralah kepada Messi: Mana mungkin saya lepaskan pemain terbaik dunia

Oleh Ammar Hakim 21 September 2020 4587
Bartomeu beralah kepada Messi: Mana mungkin saya lepaskan pemain terbaik dunia
Josep Maria Bartomeu tidak berminat melanjutkan pertengkaran umum dengan Lionel Messi meskipun ketua pasukan Barcelona itu mengkritik presiden terbabit.

Messi mengejutkan dunia bulan lalu apabila memaklumkan kepada Barca tentang niatnya untuk meninggalkan kelab gergasi LaLiga itu apabila berniat mengaktikfkan klausa dalam kontraknya bagi membenarkannya berhijrah akhir musim lalu.

Namun, hasratnya itu terbantut atas faktor COVID-19 dan pemain berusia 33 tahun tersebut akhirnya memilih untuk kekal di Catalonia berbanding mencabar majikannya.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya daripada membidas Bartomeu dalam wawancara dengan Goal yang mendakwa presiden menolak permintaan untuk meninggalkan sebuah kelab yang "tidak mempunyai sebarang projek jangka masa panjang".

 

"Sebagai presiden, saya tidak akan mencetuskan konflik dengan Messi," katanya kepada TV3.

"Messi merupakan ketua pasukan, pemimpin kami. Masalahnya ini perluy diketepikan. Apa yang telah diperkatakan biarlah berlalu. 

"Saya tidak boleh membiarkan pemain terbaik di dunia pergi. Pasukan ini memerlukannya, dia menjamin kejayaan kami. Perkara ini mesti dibincangkan secara tertutup. Anda harus menyokong pasukan dan pemain.


"Kami harus mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana Messi masih bersama kami. Dia sangat gembira dengan projek yang diterapkan pengurus, Ronald Koeman. Yang penting dia beraksi untuk Barca, di halamannya. Kami mahu dia bersara di kelab ini."

Kontrak Messi akan berakhir pada hujung musim 2020-21 biarpun pada waktu itu skuad Catalan hampir pasti memilih presiden baru untuk menggantikan Bartomeu dalam pilihan raya Mac 2021. 

Namun, Bartomeu, yang tidak digemari oleh beberapa peminat Barca kerana peranannya dalam saga Messi itu, mungkin terpaksa keluar lebih awal memandangkan berdepan undi tidak percaya dalam usaha menyingkirkannya -- sejauh ini lebih 20,000 tandatangan telah dikumpul.

"Buat masa ini, saya tidak mempertimbangkan untuk mengundurkan diri," tambahnya.

"Kelab ini tidak akan berhenti. Saya rasa semua orang terkejut dengan jumlah tandatangan itu tetapi kami menghormati demokrasi dan undang-undang kelab ini."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen