Presiden kelab Barcelona, Josep Maria Bartomeu, menegaskan juara LaLiga itu masih mampu bersaing tanpa bintang mereka yang cedera, Lionel Messi.

Barca tidak dapat menurunkan Messi dalam pertemuan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis ini, juga dalam aksi El Clasico berdepan seteru utama, Real Madrid, pada hujung minggu nanti.

Messi patah tangan kanan ketika menewaskan Sevilla 4-2 dalam saingan LaLiga, kelmarin.

Bercakap mengenai pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu, Bartomeu berkata: "Messi akan berehat selama mana yang dia perlukan.

"Tanpa Leo, kami masih pasukan yang kuat.

"Apa yang penting adalah untuk melihat ke hadapan.

"Kami perlu menang dan mempersiapkan pasukan untuk menang.

"Pemain-pemain sudah pasti tahu apa yang mereka perlu lakukan."

Messi setakat ini sudah menjaringkan tujuh gol dalam saingan LaLiga dan 12 dalam kesemua kejohanan.

Barca akan menanti kunjungan Inter Milan di Camp Nou, Khamis ini, sebelum aksi menarik menentang Real Madrid dalam saingan LaLiga, hujung minggu nanti.