Barkley, Kante, Rudiger terlepas kunjungan ke Ajax

Oleh Staff Writer 23 Oktober 2019 95
Barkley, Kante, Rudiger terlepas kunjungan ke Ajax
Chelsea akan beraksi tanpa Ross Barkley, N'Golo Kante dan Antonio Rudiger menjelang pertemuan dengan Ajax dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, kata pengurus pasukan itu, Frank Lampard.

The Blues akan berdepan Ajax di Amsterdam selepas meraih tiga mata daripada dua perlawanan pertama dan mereka amat menyedari ancaman yang akan disajikan skuad kendalian Erik ten Hag itu.

Masalah kecederaan akan menambahkan lagi cabaran buat Chelsea untuk berdepan lawan itu, yang masih belum tewas sepanjang dua perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Kante mengalami kecederaan paha sewaktu tugasan antarabangsa bersama Perancis. Barkley pula mengalami masalah buku lali ketika berdepan Newcastle hujung minggu lalu manakala Rudiger masih mengalami kecederaan pinggul.

Lampard meluahkan kegusarannya terhadap keadaan Barkley selepas menewaskan Newcastle dan berharap pemain tengah England itu akan kembali menjalani latihan minggu ini.

"Kesemua mereka tidak berada di sini," katanya kepada wartawan.

"Ross diharapkan dapat kembali cergas apabila kami pulang (ke London) lusa.

"Rudiger sudah mula berlatih bersama kami hari ini di mana ia merupakan sebahagian daripada program kecergasannya.

"Dia akan berehat hingga hujung minggu ini dan harap-harap dia dapat segera (kembali beraksi).

"N'Golo juga sama, dia sudah mula berlatih tetapi kita akan lihat keadaannya hujung minggu ini. Keadaannya masih belum jelas," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen