MILAN 4 CELTIC 2

Stefano Pioli menghamburkan pujian terhadap persembahan Milan biarpun terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menumbangkan Celtic 4-2, sekali gus layak ke pusingan 32 Liga Europa.


Tomas Rogic dan Odsonne Edouard meletakkan wakil Scotland itu mendahului 2-0 ketika permainan di San Siro baru berusia 14 minit, tetapi Milan bangkit dengan bergaya menerusi jaringan sumbangan Hakan Calhanoglu, Samu Castillejo, Jens Petter Hauge dan Brahim Diaz.

Keputusan itu termasuk kejayaan dramatik 2-1 Lille ke atas Sparta Prague dalam satu lagi pertembungan Kumpulan H, awal pagi tadi, bermakna Milan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Pioli -– yang kembali ke bangku simpanan selepas tercicir tiga perlawanan akibat jangkitan COVID-19 –- kehilangan khidmat pertahanan berpengalaman, Simon Kjaer, ekoran kecederaan sejurus pencabar mereka itu membuka tirai jaringan, perkembangan berkenaan sebaliknya menceriakan Pioli memandangkan anank buahnya masih mampu mempamerkan kebangkitan.

"Barisan pemain mahu menguji sama ada saya sudah pulih sepenuhnya atau tidak (daripada COVID-19)," seloroh Pioli kepada Sky Sport Italia.

"Kami memulakan perlawanan dengan baik, dua gol awal pihak lawan itu mencetuskan masalah kepada kami. Ia boleh menjadi detik untuk kami terus berkembang. Selepas ketinggalan 0-2, kami tetap beraksi secara berpasukan.




"Saya gembira kerana biarpun Kjaer tercedera selain menampilkan barisan muda, kami tidak goyah biarpun sedang ketinggalan 0-2. Celtic membuktikan keinginan untuk merakamkan kemenangan penting dan menyerlah di San Siro."

Diaz melebarkan koleksi jaringannya musim ini kepada tiga gol dan mengakui kepulangan Pioli telah mendorong barisan Rossoneri itu mengerahkan kudrat.

"Kepulangan Pioli adalah sangat positif," katanya pula.

"Kakitangannya mempersiapkan kami dengan baik juga tetapi kelibatnya merangsang kami. Kami gembira dengan corak persembahan sendiri."

Pemain pinjaman Real Madrid itu sekadar diberi kesempatan dalam enam perlawanan musim ini tetapi menegaskan gembira bersama pendahulu Serie A itu.

"Saya amat gembira dapat berada di sini kerana saya berasa seronok berada di kelab sebesar Milan.

"Saya akan bermain di mana-mana posisi yang diarahkan. Saya sedar perlu tingkatkan prestasi dan saya gembira dapat melakukannya bersama kelab ini."