Era baru tanpa Lionel Messi tidak perlu dimulakan terburu-buru tetapi perancangan yang jelas harus disusun selepas ketiadaan pemain Argentina itu, kata calon Presiden Barcelona, Victor Font.

Messi akan tetap menjadi legenda di Camp Nou selepas melalui karier sesnasi yang menyaksikannya muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca dan LaLiga.

Begitupun, masa pemain berusia 33 tahun itu menjadi topik hangat dengan kontraknya akan berakhir hujung musim ini selain didorong kekeruhan hubungannya dengan bekas Presiden, Josep Maria Bartomeu, yang sudah pun meletak jawatan.

Ditanya AS mengenai objektif pasukan itu selepas ketiadaan Messi, Font menjawab: "Kekalkan model pemilikan kelab dan terus memenangi gelaran.

"Ertinya, menjadi terus kompetitif dengan mewarisi kelab ini selepas generasi juara ini sudah tiada."

Namun, Font tidak setuju dengan cadangan bahawa sekarang adalah waktunya untuk menentukan hala tuju tanpa Messi.

"Tidak sama sekali. Sebenarnya, matlakat kami adalah mengekalkan Leo untuk terus memimpin pasukan di atas padang selagi dia ingin terus beraksi," tambahnya.

"Apabila kami bercakap mengenai Barca pasca Messi, pastinya cara terbaik untuk menentukannya adalah melahirkan generasi pemain bola sepak Barca yang unik. Ia tidak akan berlaku dalam sehari.

"Xavi, Andres Iniesta, Carles Puyol, Gerard Pique, Sergio Busquet adalah bakat yang digilap kelab ini. Peralihan ini bukan berlaku dalam sekelip mata, ia berlaku tepat pada masanya.

"Itulah sebabnya adalah sangat penting untuk membangunkan projek dan mempunyai pelaksanaan yang jelas. Inilah yang diberitahu oleh Messi kepada kami pada Ogos lalu. Tidak ada projek yang berlaku di sini, keadaan menjadi hura-hara dan mereka hanya menyorok masalahnya. Itulah kekecewaannya."


Messi menggemparkan dunia susulan kekalahan memalukan 2-8 Barca di tangan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu hingga sanggup menyatakan keinginannya untuk berpindah.

Dalam wawancara baru-baru ini, Messi menyuarakan kekecewaannya dan tidak tegas untuk menyatakan komitmennya bersama kelab itu selepas musim ini tamat.

Bagaimanapun, Font menyambut baik apa yang didengarnya sambil menambah: "Saya menerimanya secara positif kerana ia sesuai dengan apa yang telah kami jelaskan.

"Untuk jangka pendek, ia mengesahkan bahawa jika ada projek sukan peringkat tinggi, maka kontraknya boleh dilanjutkan. Dan satu lagi, dia secara terbuka menyatakan keinginannya untuk membantu kami untuk menjadikan ia sebagai satu kenyataan. Ia bakal menyaksikan gandingan Messi-Barca akan terus terjalin."

Keadaan kewangan Barca terjejas teruk akibat COVID-19. Font tidak secara khusus mengatakan bahawa ketua pasukan itu harus menerima potongan gaji.

Gergasi Catalunya juga mendedahkan beberapa pemain yang berpendapatan tinggi harus dilepaskan dan beberapa kontrak perlu dirunding semula bagi menampung beban kewangan mereka.

Antara perancangan barisan lembaga pengarah yang baru ialah membawa pulang Xavi dan melantiknya sebagai pengarah urusan manakala Jordi Cruyff memainkan peranan sebagai pengarah sukan.

Font mahu mengelak situasi seperti Pep Guardiola -- yang akhirnya mencari cabaran luar dari Camp Nou -- daripada berulang.

"Kami percaya dalam kes Xavi ini, Barca memiliki aset yang unik. Seseorang yang mempunyai bakat, kemampuan unik," katanya.

"Kami harus meletakkan syarat untuk mencegah kes Pep Guardiola daripada berlaku lagi, dia mengosongkan kerusinya dan berkelana kerana berhasrat menjadi pengurus di tempat lain.

"Kami perlu memastikan paling tidak dalam 10 atau 15 tahun ke depan, Xavi kekal sebahagian daripada projek sukan kelab ini. Sebagai pengarah urusan, dia mungkin perlu menggalas tanggungjawab ini."