Barcelona tidak mampu untuk mendapatkan bintang Inter Milan, Lautaro Martinez, kata bekas penyerang skuad Nerazzurri itu, Ivan Zamorano.

Pemain kebangsaan Argentina itu dilaporkan menjadi sasaran utama Barca dan seterunya dalam LaLiga, Real Madrid, selepas menjaringkan 18 gol daripada 33 penampilan musim ini.

Inter dikhabarkan sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk Edinson Cavani daripada Paris Saint-Germain (PSG) sebagai pengganti tetapi Zamorano yakin Martinez akan kekal di San Siro musim depan berdasarkan masalah kewangan yang dihadapi industri bola sepak dunia gara-gara pandemik koronavirus.

"Saya benar-benar berharap agar Lautaro kekal di Inter. Dia masih muda, baru berusia 22 tahun; Cavani 11 tahun lebih tua daripadanya dan memiliki banyak pengalaman bersama kelab berbeza. Tetapi ketibaan Cavani tidak ada kena-mengena dengan penjualan Lautaro," katanya kepada penyiar Mexico, MisionTUDN.

"Barcelona mengalami masalah ekonomi yang tidak membenarkan mereka untuk menandatangani Lautaro, jadi daripada pandangan saya, saya yakin dia akan kekal di sini.

"Cavani dapat memberikan pilihan lain dalam kesebelasan utama. Terdapat perkhabaran (Alexis) Sanchez akan kembali ke Manchester United dan Cavani boleh mengisi kekosongan di jentera depan," katanya.

Zamorano juga yakin perpindahan itu tidak akan menjadi kenyataan seandainya Arturo Vidal turut ditawarkan dalam urus niaga itu.

"Saya jamin masa depan Lautaro bersama Inter.

"Barcelona perlu meletakkan €100 juta (RM475.4 juta) di atas meja, di mana ia adalah nilai terkecil yang diminta Inter buat Lautaro.

"(Antonio) Conte sudah pasti amat menyukai Vidal tetapi mereka perlu menawarkan €100 juta," katanya lagi.