Barcelona mengumumkan bahawa pemilihan presiden mereka akan diadakan pada 7 Mac ini.

Kelab itu menunda sesi undian bagi mencari pengganti Josep Maria Bartomeu, yang pada awalnya dijadualkan pada 24 Januari lalu, berikutan ancaman pandemik koronavirus.

Pihak kerajaan Catalonia mengisytiharkan bahawa mereka tidak dapat memberikan kebenaran untuk ahli Barcelona merentas kawasan untuk melakukan undian berikutan larangan ketat yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19.

Dengan itu, Barca bersetuju untuk menjalankan sesi undian itu selama 40 hari. Setiap ahli mempunyai pilihan untuk melakukan undian melalui pos, melalui pejabat pos tempatan mereka atau bagi yang berusia 65 tahun ke atas dan golongan berisiko, boleh menggunakan perkhidmatan penghantaran dari rumah.

Bagi memenuhi protokol kesihatan seluruh dunia, Barca berkata hanya pusat undian di Catalonia dan Andorra akan dibuka buat mereka yang mahu membuang undi secara langsung.

Tiga calon akhir bagi merebut jawatan itu adalah Joan Laporta, Victor Font dan Toni Freixa.