Barcelona mengesahkan Ousmane Dembele akan menjalani pembedahan terhadap kecederaan pahanya Selasa ini.

Isnin lalu, Dembele mengalami kecederaan ketika sesi latihan tatkala dia sedang dalam tempoh pemulihan masalah di bahagian paha kanan yang mengakibatkannya diketepikan sejak November lalu.

Selasa lalu, Barca memberi kenyataan bahawa Dembele mengalami koyak di bahagian tisu paha kanannya.

Kelab LaLiga itu masih belum dapat memberikan sebarang perkembangan mengenai tarikh dia akan kembali tetapi laporan media mendakwa Barca tidak menjangkakan Dembele akan beraksi semula dalam baki saingan musim ini.

"Pemain Barcelona, Dembele, akan menjalani pembedahan pada 11 Februari ini di Turku, Finland, untuk memulihkan kecederaan tisu paha kanannya," kata wakil Barca.

"Sebaik sahaja pembedahan itu selesai, perkembangan akan dimaklumkan berhubung tarikh untuk dia kembali beraksi."

Musim ini, Dembele hanya membuat sembilan penampilan buat Barcelona sambil terpaksa berehat dalam sebulan pertama kempen akibat kecederaan paha kiri.

Pemain berusia 22 tahun itu hadir daripada Borussia Dortmund menerusi yuran perpindahan EUR105 juta (RM475 juta) tetapi aksinya di Camp Nou sering dibayangi isu kecederaan.

Sebulan selepas menyertai kelab itu, dia menjalani pembedahan paha kiri dan tidak beraksi sehingga Januari 2018.

Dia sekali lagi mengalami ketegangan otot sama, hanya empat perlawanan selepas kembali beraksi dan terpaksa disisihkan dalam bulan berikutnya.

Di penghujung musim 2018-19, buku lalinya terseliuh sebelum disusuli dengan ketegangan paha kanan sehingga mengekang penglibatannya bersama pasukan.

Baru-baru ini, pengurus baru Barca, Quique Setien, menyatakan kegembiraannya apabila Dembele kembali bersama skuad setelah kegagalan juara Sepanyol itu memperkuatkan barisan depan tatkala Luis Suarez mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, Barca dikatakan serius untuk memperkuatkan pasukan di luar jendela perpindahan susulan isu kecederaan yang terbaru.




Editor: Nafis Abdullah