Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, berkata Barcelona adalah pilihan untuk menjulang Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Juventus, Barcelona dan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund, memiliki rekod bersih selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Juve boleh menempah slot ke peringkat seterusnya ketika menerima kunjungan Manchester United dalam saingan Kumpulan H, Rabu ini.

Dengan menandatangani bekas bintang United, Cristiano Ronaldo, ia telah melonjakkan peluang Juve untuk menjulang gelaran UCL yang pertama sejak 1996, namun Allegri berasakan Barca adalah pilihan utama.

"Musim ini, Barcelona adalah pilihan juara UCL tetapi kami dalam kalangan untuk berada dalam kelompok empat terbaik," katanya.

"Kami akan berusaha untuk terus mencipta kemenangan dalam saingan Serie A berdepan Cagliari dan ia adalah sesuatu yang sukar. Kami tidak boleh kehilangan mata.

"Anda perlu memberikan lebih tumpuan dalam saingan Serie A kerana tumpuan untuk UCL hadir secara automatik buat pasukan.

"Cagliari adalah pasukan yang pantas dan Leonardo Pavoletti sangat berbahaya dalam situasi bola mati," ujarnya.

Mario Mandzukic dan Sami Khedira bakal diturunkan berdepan Cagliari tetapi Allegri tanpa pertahanan utama, Giorgio Chiellini, dan pemain sayap, Federico Bernardeschi.